Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) bersalaman dengan sebahagian penduduk ketika hadir pada Sambutan Krismas dan Tahun Baru 2020 sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Bongowan Estate, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2020

KIMANIS – Kerajaan Negeri Sabah tidak menolak kemungkinan untuk mengkaji semula Pas Lawatan Sosial 90 hari kepada rakyat dari Semenanjung Malaysia yang ingin memasuki Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagaimanapun berkata, kuasa untuk meminda undang-undang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia.

“Banyak sebenarnya bukan hanya (Pas Lawatan Sosial), banyak peraturan yang perlu kita tambah baik tapi dia mengambil masa sedikit.

“Ini kita serahkan kepada KDN, bukan saya, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran bukan Jabatan Negeri Sabah.

“Kita tengok dulu macam mana cara, kita dengar. Yang penting bagi kita, contohnya bagaimana keadaan kita membolehkan supaya pengurusan (Pas Lawatan dipinda),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Krismas di Pos Bongawan hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan mempertikaikan Pas Sementara Sabah (PSS) yang diberi kepada pendatang tanpa izin untuk tempoh tiga tahun sedangkan penduduk di Semenanjung dikenakan Pas Lawatan Sosial sehingga 90 hari untuk memasuki negeri itu.

Dalam pada itu, Mohd Shafie mempertahankan Kerajaan Negeri Sabah agar PSS diperkenalkan bagi menggantiman tiga dokumen lain untuk pendatang tanpa izin sebelum ini.

“Saya boleh biarkan pendatang tanpa izin (masuk Sabah) tanpa tindakan. Tapi adakah itu penyelesaian? Lebih baik lakukan sesuatu daripada tak lakukan apa-apa.

“Tapi bukan saya yang buat, ini KDN, kita bagi pandangan pasal kita menghadapi masalah tenaga buruh yang ada.

“Kita perlu asing yang ada di negara kita, tapi mereka mesti ada dokumen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PRK Kimanis referendum rakyat Sabah tolak PSS