Kempen boikot Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit dan produk sawit semakin 'mengganas' sehingga hotel bebas sawit telah diwujudkan oleh entiti perniagaan yang menentang penggunaan sawit.
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) dijangka diniagakan tinggi minggu depan berikutan permintaan yang semakin bertambah baik susulan belian saat-saat akhir dari pasaran China menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Dr Sathia Varqa berkata, eksport ke negara itu akan membantu meningkatkan bekalan dalam tempoh terdekat ini.

“China perlu membeli tanaman itu sekurang-kurangnya minggu depan kerana komoditi biasanya mengambil masa 10 hingga 12 hari untuk tiba di negara itu sebelum perayaan Tahun Baru Cina pada 25 Jan,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Sathia berkata sentimen pasaran juga disokong oleh jangkaan permeteraian fasa pertama perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China tidak lama lagi.

“Faktor sokongan luar menerusi perjanjian perdagangan AS-China itu pada minggu depan akan memberikan momentum positif kepada harga MSM,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, pasaran mencatatkan prestasi bercampur-campur berikutan pengeluaran lemah serta pengenaan semula cukai eksport MSM pada 1 Jan dan pengehadan import minyak sawit ditapis dan olein sawit oleh India.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi Januari 2020 meningkat RM21 kepada RM3,131 setan metrik, Februari 2020 naik RM19 kepada RM3,145 setan metrik, Mac 2020 menokok RM18 kepada RM3,134 setan metrik dan April 2020 menambah RM12 kepada RM3,110 setan metrik.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 288,983 lot daripada 164,912 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka naik kepada 279,059 kontrak daripada 267,359 kontrak.

Di pasaran fizikal, harga MSM bagi Selatan Januari naik RM20 kepada RM3,140 setan metrik. – MalaysiaGazette