Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menegaskan pengukuhan ekonomi Malaysia sekarang yang diakui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad adalah kekuatan yang dibina oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang pernah dituduh sedang menuju ke arah bankrap.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah lebih tinggi iaitu 5.9% berbanding 4.8% pada tahun 2018, 4.7% (2019) dan 4.8% (2020) tetapi Bank Dunia meramalkan 4.5% sahaja.

Dari tahun 2010 hingga 2017, purata kadar pertumbuhan ialah 5.5% manakala defisit negara turun setiap tahun pada tempoh itu.

Tetapi, kata Najib, sejak PRU14, kadar pertumbuhan KDNK menurun ke bawah purata masa BN manakala defisit naik semula.

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia sebelum PRU14 adalah lebih tinggi berbanding sekarang dan ia telah jatuh AS$8 bilion (RM33 bilion) selepas PRU14.

Menurutnya, jumlah aset tabung-tabung ini naik berganda-ganda dari RM847.8 bilion pada akhir 2008 kepada RM1.995 trilion pada masa PRU14.

“Yes, sudah berganda ke hampir RM2 trilion masa saya PM, tuan-tuan dan puan-puan pada masa dividen tabung-tabung ini tinggi-tinggi sepanjang tempoh itu. (kita tak main benda-benda seperti hibah TH 1.25%, dividen LTAT 2%, dividen ASB 5.5%)

“Bukan RM1.5 trilion seperti dinyatakan oleh Chedet. Naik sebanyak RM1.15 trilion dalam tempoh saya PM! (tapi PH kata saya gagal pulak),” katanya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menambah, Malaysia memang banyak aset asing yang dibina oleh kerajaan BN tetapi banyak aset-aset asing ini juga telah dijual oleh kerajaan PH selepas PRU14.

“Ya, keuntungan Petronas masih tinggi seperti masa kerajaan BN dahulu sehingga aset bersih Petronas berganda dari RM247.9 bilion (2008) ke RM432.5 bilion (akhir Mac 2018) – termasuk cash tunai RM176 bilion.

“Tetapi selepas PRU14, PH banyak menjarah rizab tunai Petronas ini sehingga ianya diturunkan penarafan oleh rating agency antarabangsa pada bulan Jun 2019 lalu,” ujar beliau.

Tambah Najib, walaupun Dr Mahathir mengaku bahawa aliran keluar dana asing berlaku tetapi beliau tidak sebut bahawa aliran dana asing dari pasaran saham selepas PRU14 adalah RM15 bilion (Mei hingga Disember 2018) dan RM11.2 bilion (2019).

“Sebelum PRU14 dari Januari 2017 hingga April 2018, ianya bukan aliran keluar dana tetapi aliran masuk dana asing sebanyak RM14 bilion.

“Dan ya, ringgit memang telah memulih ke RM3.81 berbanding dolar Amerika sebelum PRU14 – iaitu jatuh sedikit dari taraf RM3.73 pada masa saya mula menjadi PM pada April 2009.

“Ianya bukan jatuh teruk dari RM2.40 ke RM3.80 (itupun kerana ditambat) dari masa PM ke-4 bermula hingga dia tamat atau dari RM3.83 hingga RM4.10 masa PM ke-7,” katanya lagi.

Menurut Najib lagi, hutang langsung negara telah naik dari RM686.8 bilion pada tahun 2017 ke RM810 bilion sekarang kerana kadar pinjaman dan defisit kerajaan PH adalah jauh lebih tinggi.

“Oleh itu, persoalannya ialah kenapa Chedet masih tegas bahawa Malaysia di bawah kerajaan BN dahulu sedang menuju ke arah muflis masa saya PM sedangkan keadaan ekonomi masa itu adalah lebih baik dari “kekuatan” ekonomi sekarang yang dinyatakan Chedet ini?,” soal beliau.

Jumaat lalu, Dr Mahathir dalam kenyataannya berkata, ekonomi negara masih kukuh dengan pertumbuhan KDNK Malaysia masih pada kadar yang baik.

Menurutnya, rizab antarabangsa BNM melebihi RM400 bilion manakala jumlah aset tabung-tabung simpanan seperti PNB, KWSP melebihi RM1.5 trilion.

Malah, Dr Mahathir berkata, Malaysia memiliki banyak aset asing. selain keuntungan Petronas masih tinggi. – MalaysiaGazette

Negara kembali pada landasan dua tahun lagi