Tommy Thomas
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Seorang peguam mendakwa kenyataan  Tan Sri Tommy Thomas mengenai isu video seks sejenis yang dikaitkan dengan seorang Menteri tidak konklusif dan telah menimbulkan banyak persoalan.

Haniff Khatri Abdulla berkata, selalunya apabila seorang Peguam Negara membuat kenyataan mengenai sesuatu keputusan, ia harus menyelesaikan isu yang berkaitan dengan kes tersebut

Bercakap kepada sebuah portal, Haniff berkata, apabila video itu muncul pertama kali, bekas Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz telah membuat pengakuan dia adalah pelaku dalam video tersebut dan menuduh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai individu yang bersamanya.

Artikel berkaitan: Gagal cam wajah, tiada pendakwaan kes video seks sejenis – AG

“Jika Peguam Negara tidak mengenakan apa-apa pertuduhan kepada mana-mana pihak kerana tidak dapat mengecam wajah, adakah beliau memutuskan apa yang akan dilakukan terhadap pengakuan Haziq?,” katanya.

Haziq boleh didakwa dengan fitnah jenayah dan jika dia menafikan sebagai sebahagian daripada konspirasi jenayah, ia juga satu jenayah.

“Hubungan seksual juga merupakan kesalahan, walaupun ia bersifat persetujuan, sekurang-kurangnya Haziq harus didakwa,” katanya kepada FMT.

Haniff berkata, tindakan sama juga perlu dilakukan terhadap mereka yang mengedarkan video itu, sambil menambah, mereka juga boleh didakwa dengan konspirasi atau pengedaran pornografi.

Semalam, bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata, tiga perkara sepatutnya berlaku selepas Tommy memutuskan untuk tidak mendakwa sesiapa berhubung video seks sejenis termasuk Azmin harus menyaman Haziq kerana fitnah.

Najib berkata, Haziq harus didakwa kerana membuat laporan polis palsu, begitu juga mereka yang telah mengedarkan video tersebut kepada media massa.

Mengulas kenyataan Najib, peguam jenayah, N Sivananthan berkata, Azmin tidak perlu memfailkan saman fitnah terhadap Haziq kerana terpulang kepadanya jika mahu mengambil tindakan sivil.

Beliau juga berkata, keputusan Thomas berdasarkan kekurangan bukti tidak bermakna Haziq telah membuat laporan polis palsu.

“Sesiapa sahaja boleh membuat laporan polis tetapi terserah kepada pihak pendakwaan untuk membuat keputusan mengenakan suspek,” katanya. – MalaysiaGazette