Dua bangunan kediaman di Kerala yang diletupkan kerana melanggar syarat alam sekitar. foto Agensi

NEW DELHI – Pihak berkuasa di selatan India meruntuhkan dua pangsapuri mewah di tepi tasik kerana pembinaannya menyalahi peraturan alam sekitar.

Pemilik kediaman di negeri Kerala itu menyaksikan rumah dan pelaburan mereka dirobohkan sekelip mata.

Mahkamah Agung memerintahkan keputusan untuk meruntuhkan kediaman berkenaan tahun lalu apabila satu jawatankuasa mendapati pembinaan itu melanggar peraturan perlindungan kawasan perairan.

Dua lagi bangunan pencakar langit akan dimusnahkan hari ini.

Sebanyak 343 rumah bertingkat tinggi yang didiami oleh 2,000 penduduk dijangka dimusnahkan pada sepanjang minggu – tindakan meroboh terbesar membabitkan kediaman penduduk.

Pangsapuri H20 Holy Faith yang mempunyai 90 kediaman diruntuhkan pada hari Sabtu, mengambil beberapa saat untuk merobohkan bangunan 19 tingkat dengan menggunakan bahan letupan terkawal.

Bangunan berkembar Alfa Serene akan mengambil giliran selepas ini.

Lembaga Pengelola Kawasan Pesisir Kerala (KCZMA), yang diwujudkan untuk mencegah kerosakan kawasan pesisir dan laut berkata, pihak berkuasa tempatan tidak mendapat keizinan daripada pihaknya untuk membina bangunan-bangunan tersebut.

KCZMA berkata, lokasi kompleks pangsapuri, di perbandaran Maradu, adalah kawasan kritikal yang tidak dibenarkan sebarang pembinaan baharu.

Kakitangan bank, eksekutif dan pesara mewah adalah antara mereka yang membeli pangsapuri tersebut. – MalaysiaGazette