Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) bercakap semasa sidang media pada Lawatan Ke Depot DMIA Serendah di Dhaya Maju Infrastructure (ASIA) Sdn Berhad, Serendah, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 13 JANUARI 2020

HULU SELANGOR – Mana-mana bekas pemimpin UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh mengambil bahagian dalam perebutan jawatan pada Pemilihan parti itu kali ini.

Bagaimanapun, menurut Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, hanya bekas pemimpin UMNO yang bersih daripada sebarang kes rasuah sahaja diberikan pengecualian untuk mengemukakan nama mereka.

“Secara umumnya mereka (bekas ahli dan pemimpin UMNO) tidak dibenarkan (bertanding), tapi berdasarkan kepada beberapa kes, kita akan benarkan (mereka bertanding).

“Mereka tidak boleh bertanding tapi kita beri pengecualian untuk beberapa kes, yang tidak dikaitkan dengan mana-mana kes jenayah,” katanya dalam sidang media selepas sempena lawatan beliau ke Depot DMIA Serendah, hari ini.

Pada 8 Januari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar berkata, semua jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu 2019-2022 akan dipertandingkan semasa pemilihan tertinggi parti itu yang akan diadakan pada 4 April ini.

Pemilihan itu akan dibuat pada tarikh berkenaan termasuk mengumumkan keputusannya pada hari yang sama.

Ditanya mengapa pemilihan Bersatu ditangguhkan, Dr. Mahathir berkata, keputusan itu dibuat memandangkan terdapat masalah pendaftaran ahli.

“Pendaftaran ahli Bersatu sedang berhadapan dengan pelbagai masalah,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lagi.

Untuk rekod, pemilihan semua barisan jawatankuasa Bersatu akan diadakan sempena dengan Persidangan tahunan Cawangan-Cawangan Bersatu yang berlangsung 26 Januari hingga 1 Mac depan.

Ia melibatkan peringkat cawangan, bahagian, MPT termasuk sayap-sayap Srikandi dan Armada. – MalaysiaGazette