Mohd Zai Mustafa
Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mencadangkan NGO G25 belajar dan mengkaji terlebih dahulu batas iman, kufur dan murtad dari para mufti sebelum mengeluarkan pandangan berkaitan Islam.

Ini supaya pandangan tersebut tidak tersasar sehingga boleh menjejaskan iman dan akidah umat Islam di negara ini.

Timbalan Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna merangkumi akidah, ibadah dan undang-undang cara hidup manusia di atas dunia ini.

“Sekiranya G25 menolak untuk berhukum berdasarkan agama, ini suatu pandangan yang salah dari sudut akidah iaitu menolak beriman kepada Islam yang sempurna termasuk sumber hukum yang telah ditetapkan oleh Islam,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau mengulas kenyataan G25 yang membidas undang-undang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama yang dilakukan.

Jelas G25 dalam kertas laporan yang dibentangkan pengerusinya, Asiah Abu Samah, tindakan undang-undang terhadap individu tidak bersolat Jumaat misalnya, adalah tidak wajar dan perkara dilakukan seorang Islam terhadap agamanya adalah antara individu itu dengan tuhan.

Serentak itu, menurut Mohd Zai, UMMAH menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mufti bermuzakarah serta memberi pendidikan ilmu akidah kepada G25 agar mereka dapat memahami Islam yang syumul.

“Ini juga bagi mengembalikan mereka ke jalan yang benar, bertaubat serta tidak lagi mengeluarkan pandangan dan pendapat yang boleh mengelirukan umat Islam.

“Kita juga menyarankan Majlis Raja-Raja yang menjaga kesucian Islam bertindak sebaiknya supaya pihak yang menghina dan menyelewengkan Islam dari kebenaran dapat diambil tindakan segera dan sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast