Peguam, Datuk Mohamed Haniff Kathri Abdulla bersama Muhammad Yusuff Rawther selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla akan berbincang dengan Muhammad Yusoff Rawther berikutan keputusan Jabatan Peguam Negara menutup kes dakwaan serangan seksual ke atas anak guamnya itu.

Haniff dalam hantaran di laman Facebook berkata, perbincangan dengan Yusoff dijangka selewat-lewatnya malam esok dan satu kenyataan lengkap akan menyusul pada Khamis.

‘Saya masih berada dalam persidangan bicara di dewan mahkamah, apabila saya menerima makluman berhubung kenyataan rasmi Peguamcara Negara, Engku Nor Faezah Nor Engku Atek petang tadi.

“Saya juga menerima pelbagai pesanan di telefon bimbit daripada rakan-rakan pemberita bertanyakan komen saya berhubung keputusan itu.

“Untuk makluman semua, saya akan berbincang dengan anakguam Yusoff Rawther selewat-lewatnya esok malam, disebabkan kesuntukan masa pada hari ini, dan akan keluarkan satu kenyataan lengkap berkaitan perkara ini, selewat-lewatnya pada hari berikutannya, iaitu Khamis,” katanya.

Engku Nor Faezah dalam kenyataannya berkata, pihaknya bersetuju dengan saranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kes dakwaan serangan seksual yang diadukan oleh bekas pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ditutup.

Artikel berkaitan: Wujud keterangan bercanggah, kes Yusoff Rawther terhadap Anwar ditutup

Katanya,hasil siasatan PDRM mendapati wujud keterangan bercanggah yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaaan mana-mana orang di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah kanun yang sama.

“Kami juga mendapati tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan-laporan polis yang dibuat  berdasarkan keterangan-keterangan yang ada dalam Kertas Siasatan,” katanya.

Yusoff dalam sidang media pada 4 Disember lalu mendakwa telah diserang secara seksual oleh seorang oleh ahli politik dalam satu kejadian pada 2 Oktober 2018.

Beliau kemudian membuat laporan polis pada 7 Disember dan turut menyertakan akuan berkanun yang menamakan Anwar sebagai ahli politik yang melakukan perbuatan tersebut. — MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.