Baru Bian

KIMANIS – Menteri Kerja Raya, Baru Bian hari ini mengesahkan bahawa projek Lebuhraya PAN Borneo akan diteruskan seperti biasa dan ia sedang berjalan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu dijangka siap menjelang Disember 2023.

Dalam masa sama beliau menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa projek yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu ditangguhkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hingga dilihat seolah-olah projek terbiar.

“Saya dengar-dengar ada orang mengatakan projek Lebuhraya PAN Borneo telah terbengkalai dan ditinggalkan oleh pemerintah PH, ini bukan betul.

“Projek ini bukan ditinggalkan, dan ia akan diteruskan, setakat kemajuan projek itu secara keseluruhan pada kadar 22 peratus.

“Sebab itu saya datang sendiri dan mengesahkan bahawa projek Lebuhraya PAN Borneo ini akan dilaksanakan dan sekarang ini kita ambil alih daripada pemilik projek ini,” katanya ketika ditemui melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ladang Kimanis, di sini, hari ini.

Baru juga berkata, terdapat kemungkinan sebahagian daripada projek itu akan dilanjutkan tempoh pembinaannya bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual.

“Ada sebahagian pembinaan PAN Borneo dilanjutkan dan bakal disiapkan pada Disember 2023,” katanya.

Selain Lebuhraya PAN Borneo, Baru berkata, Kementerian Kerja Raya akan melaksanakan dua projek mega lain iaitu Sarawak-Sabah Link Road dan Lebuhraya Trans Borneo

“Bukan hanya PAN Borneo dilaksanakan, dua projek mega lain iaitu Sarawak-Sabah Link Road dan ia telah dilancarkan di Lawas, Sarawak pada Disember tahun lalu.

“Ia akan menghubungkan Sabah dan Sarawak dari dataran tinggi Sabah dan Sarawak.

“Projek Lebuhraya Trans Borneo pula akan menghubungi kawasan Sabah, Kalimantan, Sarawak dan Brunei.

“Ini tiga mega projek akan membawa satu transformasi dari segi sosio ekonomi rakyat Sabah, Sarawak, Kalimantan dan kawasan sekitarnya,” katanya. – MalaysiaGazette