Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya (tengah) diiringi Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki (kiri) dan Pengarah Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin (kanan) bercakap pada sidang media khas mengenai pendedahan 9 set rakaman percakapan selama 45 minit yang didakwa konspirasi jenayah di peringkat tinggi di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 08 JANUARI 2020.

PUTRAJAYA – Sepasukan polis hari ini berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai bagi mengambil keterangan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya bagi membantu siasatan berhubung rakaman perbualan yang didedahkan suruhanjaya itu.

Seramai 10 pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 2.30 petang. Mereka tiba dalam empat kereta Proton Preve berasingan.

Difahamkan, mereka akan merakamkan keterangan Latheefa bagi membantu siasatan selepas SPRM pada 8 Januari lepas, mendedahkan sembilan rakaman audio perbualan berdurasi 45 minit, yang berlaku 5 Jan hingga 29 Julai 2016, antaranya dipercayai melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata pihaknya telah menerima kesemua sembilan set rakaman yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi dipercayai melibatkan Najib dan beberapa individu lain itu. – Bernama