Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Ceramah PDM Pimping sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Kampung Pimping, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 16 JANUARI 2020

KIMANIS – Kenyataan Menteri Kerja Raya, Baru Bian bahawa pembinaan Lebuhraya PAN Borneo menimbulkan persoalan apabila status kemajuan projek itu masih sama sejak Mei 2018 hingga sekarang.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, Baru Bian perlu membuktikan bahawa projek lebuh raya itu diteruskan dan bukan sekadar cakap kosong untuk menyedapkan hati rakyat Sabah.

“Kalau diteruskan (Lebuhraya PAN Borneo), teruskan lah, tapi status perkembangan projek sama peratusannya seperti mana setakat Mei 2018.

“Jadi jangan cakap…buat, rakyat sudah meluat, rakyat tak mahu cakap lagi laa, rakyat nak tengok apa yang dibuat. Jadi jangan kata kami tak cukup masa tapi dekat dua tahun.

“Dua tahun takkan tak boleh buat,” katanya kepada pemberita di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pimping, di sini, malam ini.

Baru Bian semalam mengesahkan bahawa projek Lebuhraya PAN Borneo akan diteruskan seperti biasa dan ia sedang berjalan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu dijangka siap menjelang Disember 2023.

Dalam masa sama beliau menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa projek yang ditinggalkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) itu ditangguhkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hingga ia dilihat seolah-olah projek terbengkalai. – MalaysiaGazette