Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman bersama Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Omar Sidek (kanan) dan pelakon utama, Oxford Tong Yaw Wei (tengah) serta yang lain menggaul 'Yee Sang' sebagai gimik Pelancaran Iklan Televisyen sempene Tahun Baru Cina TNB di Bookmark AWB Bangsar, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini melancarkan iklan televisyen sempena Tahun Baru Cina
yang mengetengahkan kepentingan berada bersama insan tersayang ketika musim perayaan meskipun teknologi membolehkan kita sentiasa terus berhubung.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman, filem pendek yang bertajuk Reality Not Virtual menyampaikan mesej keseronokan menyambut perayaan tahunan bersama keluarga melalui pendekatan realiti maya.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Iklan Televisyen sempena Tahun Baru Cina TNB di Bookmark AWB Bangsar, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2020.

Filem itu menampilkan Bryan, seorang lelaki yang baru bekerja di bandar dan gemar menghabiskan masa lapangnya di kota daripada pulang ke kampung halaman untuk menyambut Tahun Baru Cina.

Ibu Bryan yang tidak mahu anak lelakinya itu ketinggalan merasai kemeriahan sambutan di kampung halaman telah menghantar satu bungkusan istimewa iaitu satu peranti realiti maya (VR) yang bertemakan Tahun Baru Cina.

Sejurus memakai peranti itu, Bryan dibawa ke alam maya yang menyaksikan suasana perayaan yang biasa di rumahnya seperti sesi melambung Yee Sang, menerima ang pau dan
lain-lain lagi.

Pada masa yang sama, penonton dapat melihat bagaimana Bryan berinteraksi dengan dunia sebenar tatkala asyik di alam maya.

Ketika filem ini sampai ke kemuncaknya dengan adegan
tarian singa yang penuh warna-warni, Bryan lantas merasakan kerinduannya memuncak untuk pulang ke kampung halaman.

“Meskipun agak lucu, namun filem ini membawa mesej yang dalam tentang kegembiraan menyambut perayaan bersama mereka yang penting dalam kehidupan kita iaitu ahli keluarga.

“Kami berharap rakyat Malaysia dapat berkumpul bersama keluarga pada musim perayaan ini dan menghayati suasana gembira itu bagi menjadikannya satu detik yang begitu
bermakna,” kata Roslan.

Filem itu bakal ditayangkan secara dalam talian di saluran YouTube rasmi TNB (youtube.com/TENAGAofficial) bermula 17 Januari 2020. Satu filem pendek berdurasi 60 saat
dijangka akan ditayangkan di kaca televisyen bermula 23 Januari 2020.

Filem ini turut diiringi iklan cetak ‘interaktif’ yang memerlukan pembaca untuk melipat bahagian-bahagian tertentu
iklan untuk melihat mesej tersembunyi.

Pada masa yang sama, TNB turut mengadakan peraduan Cekap Tenaga dengan menampilkan barisan pelakon utama filem itu dalam bentuk video 360°.

Untuk menyertai, hanya log masuk ke facebook.com/TNBCareline dan anda berpeluang memenangi hadiah termasuk telefon
pintar baharu.

Filem web penuh boleh ditonton dan dilanggan dengan melayari
youtube.com/TENAGAofficial. Anda juga boleh berkongsi GIF dan pelekat perayaan yang menyeronokkan dengan keluarga anda melalui carian ‘TNB Chinese New Year ‘ di platform
WhatsApp, Facebook dan Instagram.- MalaysiaGazette