Zuraida Kamaruddin
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin. foto NOOREEZA HASHIM, 08 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Keputusan PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab dan memberi 14 hari kepada Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin diterima semua pimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang menghadiri mesyuarat siang tadi.

Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, proses untuk mengeluarkan arahan membalas surat tunjuk sebab itu diberikan kepada Lembaga Displin dan ia dibuat sendiri oleh lembaga berkenaan.

“Ini tugas Lembaga Displin. Mereka hanya maklumkan proses dan semua pimpinan tahu jadi tidak ada masalah.

“Dalam mesyuarat tadi semua terima keputusan Lembaga Displin dan perlu dijawab dalam dua minggu. Itu keputusan Lembaga Displin,” katanya kepada media dalam satu majlis di Port Dickson, sebentar tadi.

Artikel berkaitan: Zuraida diberi tempoh 14 hari jawab surat tunjuk sebab

Dalam mesyuarat MPP siang tadi, PKR berkata pihaknya memberikan tempoh 14 hari buat Zuraida untuk membuat penjelasan yang dipercayai berhubung ucapannya di sebuah hotel pada awal bulan lalu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Lembaga Disiplin akan membuat keputusan selepas mendengar penjelasan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Surat itu menurut Saifuddin dihantar semalam kepada Zuraida.

Tindakan untuk memecat Zuraida semakin memuncak apabila Ahli Parlimen Ampang itu didakwa Presiden PKR itu dan mendedahkan butiran perbualannya ketika bertemu Anwar beberapa bulan lalu.

Zuraida berbuat demikian ketika berucap dalam satu majlis makan malam anjuran Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 8 Disember, tahun lalu. -MalaysiaGazette