KUALA LUMPUR – Umpama duri dalam daging!

Itu sikap segelintir ahli PKR yang berjawatan dalam parti yang  sanggup membelakangkan kepimpinan tertinggi parti dengan sesuka hati membuat kritikan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) merangkap Ketua Cabang Julau, Larry Sng Wei Shein menyelar segelintir pemimpin parti itu yang membuat kenyataan menjatuhkan imej pemimpin sejak kebelakangan ini secara terbuka.

Tanpa merujuk kepada sesiapa secara khusus, jelas Larry yang juga Ahli Parlimen Julau berkata, sudah tiba masa untuk Lembaga Dispilin PKR bertindak tegas dan mengambil kata putus demi kelangsungan parti itu.

“Rasanya sudah tidak boleh bertolak ansur lagi. Lembaga displin sudah seharusnya tidak lagi ‘beri muka’ kepada mana-mana ahli atau pemimpin yang bertindak seolah-olah kebal dengan mengkritik kepimpinan sendiri.

“Tindakan mereka-mereka ini secara tidak langsung sebenarnya bukan sahaja melemahkan kelangsungan oarti sebaliknya ianya juga ‘melambatkan’ proses peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri dengan sengaja.

“Saya sangat pasti apa yang saya cakap ini sebenarnya juga suara hati rata-rata ahli yang rasa tercabar, dikhianati sejak akhir-akhir ini. Sabar juga ada hadnya.

“Parti sepatutnya sudah tidak lagi bertoleransi sebaliknya pecat sahaja mereka-mereka ini daripada membiarkan mereka menghancurkan parti kita, mereka ini sudah lama melampaui batas,” luahnya kepada MalaysiaGazette malam ini.

Sabtu lepas,  Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul berkata hasil mesyuarat bersama 11 Pengerusi PKR negeri, kesemua mereka menuntut supaya Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dipecat daripada parti.

“Beliau secara terang-terangan menghina presiden, menghina pemimpin parti dan jika beliau tidak boleh patuh kepada undang-undang parti, beliau perlu dipecat.

“Ini adalah ketetapan diambil pengerusi-pengerusi parti negeri serta akar umbi yang menuntut Zuraida dipecat walau apa pun alasan yang diberikannya. Buat apa simpan orang seperti ini,” kata Johari.

Desakan letak jawatan, bukan standard saya nak layan – Zuraida

Zuraida juga diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya atas dakwaan salah laku disiplin.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Ampang merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga secara tegas dan berani berkata dirinya akan menghadapi Lembaga Disiplin selain akan menjawab surat terbabit dalam tempoh masa yang diberikan.

Dalam pada itu, Larry juga mendedahkan ketika ini PKR Sarawak belum lagi mengambil keputusan untuk menyokong Zuraida kerana masih belum bermesyuarat lagi.

“PKR Sarawak belum ambil apa-apa keputusan lagi sama ada untuk menyokong atau sebaliknya berhubung isu YB Zuraida. Kita akan bermesyuarat kelak,” ujarnya. –MalaysiaGazette

Sokongan Ketua Penerangan PKR Sarawak bukan pendirian semua cabang

1 Komen

Comments are closed.