Pesawat Cathay Pacific. foto Agensi

HONG KONG – Kesatuan anak kapal Cathay Pacific Airways Ltd meminta syarikat itu membenarkan anak-anak kapal memakai penutup mulut dan hidung berikutan penularan wabak coronavirus yang tersebar dari China.

Coronavirus dikhuatiri merebak berikutan berjuta-juta penduduk China melakukan perjalanan untuk Tahun Baru China, sekali gus meningkatkan risiko penularan dan menimbulkan ancaman baru kepada kakitangan penerbangan.

Cathay Pacific Airways Attendants Flight Union berkata, ia telah menerima banyak emel dan mesej daripada ahli-ahlinya yang membimbang akan penyebaran wabak itu kerana terdedah dengan 300 orang penumpang daripada pelbagai tempat dalam satu penerbangan.

“Semua mereka bimbang terhadap risiko ketika bekerja,” kata kesatuan itu di halaman Facebooknya.

Menurut kesatuan itu, sudah tiba masanya bagi syarikat untuk menangani masalah mereka dengan baik dan membenarkan anak-anak kapal memakai penutup mulut dan hidung semasa dalam semua penerbangan.

Setakat ini, syarikat penerbangan itu tidak membenarkan krew kabin memakai penutup muka dan hidung kecuali untuk penerbangan Wuhan.

Ini kerana wabak itu bermula di Wuhan pusat bandar China.

Setakat ini Cathay belum memberi maklum balas terhadap permintaan tersebut. – MalaysiaGazette