LONDON – Arsenal mempamerkan kebangkitan luar biasa walaupun beraksi 10 orang bagi mengikat Chelsea 2-2 di Stamford Bridge selepas David Luiz dibuang padang.

Pelawat yang bangkit dua kali itu tersentak apabila pemain Brazil itu dilayangkan kad merah pada minit ke-26 kerana mengasari Tammy Abraham yang membolehkan Jorginho mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk mendahului perlawanan.

Namun Gabriel Martinelli mula memberi tekanam kepada tuan rumah apabila melakukan gerakan solo untuk gol penyamaan pada minit ke-63.

Cesar Azpilicueta kembali meletakkan tuan rumah di depan enam minit sebelum tamat permainan tetapi Hector Bellerin mencuri satu mata buat Arsenal tiga minit kemudian.

Chelsea kini melebarkan jurang ke atas Manchester United yang menghuni tangga kelima kepada enam mata.

Namun Red Devils mampu merapatkannya kepada tiga mata dengan kemenangan ke atas Burnley awal pagi esok.

Arsenal kekal di tangga ke-10, 10 mata di belakang Chelsea, dan peluang untuk memburu tempat dalam kelompok empat teratas tampak semakin tipis buat anak buah Mikel Arteta.

Chelsea kendalian Frank Lampard hanya memenangi empat daripada 12 perlawanan terakhir liga, termasuk kekalahan kepada West Ham, Bournemouth dan Southampton. – MalaysiaGazette