LONDON – Pemain tengah Algeria, Nabil Bentaleb sah menyertai Newcastle United secara pinjaman dari kelab Jerman Schalke 04 sehingga hujung musim ini.

Perjanjian yang termeterai membolehkan The Magpies mendapatkan pemain tersebut secara tetap selepas tempoh pinjaman berakhir dengan nilai perpindahan yang dianggarkan £8.5 juta.

Bentaleb tidak pernah bermain untuk kelab Bundesliga itu pada musim ini selepas diarahkan untuk berlatih bersama pasukan simpanan sejak April lalu gara-gara masalah disiplin.

Masalah kecederaan lutut yang dialaminya turut menjadi punca dia terus diketepikan oleh pasukan tersebut.

Namun pemain itu dijangka tidak berdepan masalah dengan corak permainan di Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana memiliki berpengalaman bersama Tottenham Hotspur sebelum ini.

Bentaleb dalam kenyataannya di akaun Twitter meluahkan rasa gembira dapat kembali ke kancah EPL dan cukup teruja untuk menyarung jersi hitam putih yang menjadi identiti kelab yang mempunyai sejarah hebat itu.

Dia membuat 66 penampilan untuk Spurs sebelum dipinjamkan ke Schalke pada 2016 dan menyertai kelab tersebut secara tetap pada tahun berikutnya.

Bersama Schalke, dia bermain 97 perlawanan dan menjaringkan 19 gol dalam semua pertandingan. – MalaysiaGazette