SYDNEY – Cathay Pacific Airways Ltd membenarkan anak-anak kapalnya dan kakitangan barisan hadapan memakai topeng surgikal sebagai langkah keselamatan penularan wabak coronavirus.

Syarikat penerbangan itu turut mengumumkan penumpang dari Wuhan, China boleh meminda atau membatalkan penerbangan masing-masing secara percuma sehingga 31 Mac ini.

Sebelum ini, syarikat tersebut hanya membenarkan anak kapal yang terbang ke China sahaja memakainya selepas kesatuan kru kabin meminta kebenaran pemakaian topeng surgikal bagi semua penerbangan memandangkan virus berkenaan sudah merebak ke Amerika Syarikat, Thailand, Korea Selatan, Taiwan dan Jepun.

Permohonan itu dibuat oleh kesatuan selepas menerima banyak emel dan mesej daripada ahli-ahlinya yang bimbang dengan risiko virus tersebut kerana kakitangan terdedah kepada lebih 300 orang penumpang dalam satu penerbangan.

Coronavirus merebak dari Wuhan dikhuatiri menular lebih meluas kerana jutaan penduduk China akan mengembara sempana Tahun Baru Cina.

Wuhan telah menggantung semua rangkaian pengangkutan dari bandar itu mulai jam 10 pagi hari Khamis (0200 GMT).

Pada petang semalam, Cathay melalui laman webnya berkata, tempahan dan perjalanan semula dan caj bayaran balik akan dikecualikan untuk semua tiket yang ditempah pada atau sebelum 21 Januari untuk ketibaan atau pelepasan dari Wuhan hingga 31 Mac ini.

Kematian dari virus selesema baru China meningkat kepada 17 setakat pada hari Rabu, dengan lebih daripada 540 kes disahkan.

Virus ini telah tersebar di luar Wuhan hingga ke Beijing, Shanghai, Macau dan Hong Kong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast