Gambar Ismail Nasaruddin (baju hitam) bersama rakan-rakannya dalam satu pertemuan dengan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Saya mulakan dengan lafaz Bismillahirahmanirahim dan Al Fatihah.

Allahyarham Tan Sri akhirnya telah kembali ke ramahtullah pada awal pagi Khamis. Beliau adalah seorang bekas pengerusi yang telah berkhidmat di MAS dari tahun 1972 hingga 1991.

Beliau juga merupakan seorang tokoh lama negara yang disegani oleh ramai orang dalam industri penerbangan antarabangsa.

Beliau juga terkenal atas sikap peramah dan rendah diri.

Setelah beliau bersara dari MAS lebih 20 tahun dulu, ramai pekerja di MAS masih berjumpa dengan beliau untuk mendapatkan nasihat.

Saya masih ingat setelah bersara, arwah telah menaiki penerbangan ke London bersama isteri, beliau hanya menaiki kelas ekonomi.

Saya terkejut apabila nampak beliau duduk kelas tersebut, lantas saya mengajak beliau dan isterinya datang ke kelas pertama untuk bertemu dengan kru kabin dan juruterbang penerbangan tersebut.

Semua amat gembira dengan kehadiran beliau dan kami mengambil kesempatan untuk bergambar beramai-ramai.

Allahyarham cukup dikenali seorang berdisiplin tinggi dan terkenal sebagai seorang pengerusi yang memang dekat di hati 22,000 pekerja MAS.

Beliau sentiasa prihatin kepada masalah dan isu kebajikan  pekerja dan sentiasa berbincang dengan kesatuan kerja.

Setiap kali menjelang perayaan Hari Raya, Tahun Baru Cina atau Deepavali, pekerja juga akan diberikan gaji pendahaluan atau bonus perayaan.

Pekerja yang bergaji rendah di MAS sentiasa dalam ‘radar’ beliau.

Saya pernah bertanya kepada arwah dalam penemuan di rumahnya baru-baru ini, adakah beliau mahu kembali semula untuk menerajui MAS jika diberi peluang oleh kerajaan.

Beliau ketawa. Katanya, memandangkan usianya sudah tidak mengizinkan beliau bekerja, Allahyarham sentiasa terbuka untuk  membantu memberikan idea dan pandangan jika diperlukan.

Pada awal tahun 80-an, syarikat MAS cukup dikenali sebagai sebuah syarikat penerbangan antarabangsa yang terunggul di Asia Tenggara.

Saingan MAS adalah Singapore Airlines, Garuda Indonesia, Japan Airlines, Thai Airways dan Cathay Pacific.

Bukan mudah syarikat penerbangan lain hendak mengejar MAS yang mempunyai ciri-ciri dan identiti tersendiri.

Identiti MAS adalah mutu khidmat yang diberikan oleh kru kabin, juruterbang dan jurutera serta kakitangan yang profesional yang tidak pernah lelah untuk berkhidmat bagi menaikan nama  syarikat.

Apabila  ada masalah atau kelewatan penerbangan, ramai pekerja sanggup dipanggil balik untuk kerja lebih masa.

Kalau pesawat mengalami kerosakan, para penumpang akan terus dilayani dengan baik untuk memastikan mereka tidak mengalami masalah atau kesusahan.

Teringat saya suatu ketika dulu kapal saya pernah mengalami masalah di Kota Kinabalu dan kebetulan pula berlaku pada perayaan hari raya.

Juruterbang dan kru kabin yang masih bercuti dipanggil balik oleh pejabat operasi untuk membantu atau “rescue” sebuah kapal.

MAS terpaksa hantar kapal lain dari Kuala Lumpur untuk membawa pulang penumpang dari sana untuk beraya. Akhirnya semua penumpang yang tersangkut dibawa pulang tanpa masalah.

Memang tidak ada masalah besar untuk membantu syarikat ketika itu kerana semua pekerja tahu tanggungjawab masing- masing dan mereka setia untuk membantu syarikat sekiranya perlu.

Moral pekerja di MAS ketika itu sungguh tinggi kerana kepada pihak pengurusan dan kakitangan umpama sebuah keluarga yang mengemudi sebuah syarikat besar.

Allahyarham Tan Sri juga bijak menangani krisis. MAS pernah mengalami detik hitam dengan kesatuan pekerja dalaman pada tahun 1978 tetapi akhirnya kedua-dua pihak berkompromi.

Arwah pernah memberi tahu kepada saya bahawa kesatuan memainkan peranan besar untuk merapatkan pekerja dengan syarikat dan boleh membantu syarikat jika masa susah.

Beliau berkata, syarikat harus bersikap baik dan jujur dengan pekerja dan kesatuan bagi menjaga keharmonian di tempat kerja.

MAS ketika dahulu memang mempunyai hubungan rapat dengan semua kesatuan, saling hormati antara satu sama lain.

Malangnya hari ini MAS tidak seperti dulu lagi.

Pada awal tahun 2019, saya bersama rakan lama MAS telah berjumpa dengan beliau untuk mendapat beberapa pandangan mengenai kemelut di MAS.

MAS masih mengalami kerugian dan kemelut baru dan ia mungkin akan dijual ke pihak lain.

Ramai merasa tidak selesa dengan cadangan kerajaan untuk menjual MAS ke pihak ketiga terutama sekali Air Asia. Sebagai kesatuan kami telah memberi beberapa cadangan kepada kerajaan.

Beliau amat marah dan sedih dengan masalah yang dihadapi oleh pekerja MAS yang akan diberhentikan secara serentak .

Memang beliau tidak berpuas hati kerana beliau amat memahami perasaan pekerja MAS jika dibuang dan diberhentikan.

Beliau menyuruh semua pihak termasuk bekas kakitangan dan kesatuan bersatu bagi menyelamatkan MAS.

Meskipun usianya sudah lanjut, rasa kasih dan sayang arwah terhadap MAS tidak pernah luntur.

Dalam ingatan saya, arwah cukup sensitif sekali dengan MAS. Beliau sering melahirkan rasa hampa terhadap corak pengurusan MAS selepas eranya.

Beliau masih bersemangat mahu MAS kembali gah seperti dahulu.

Arwah juga telah mengeluarkan beberapa kenyataan untuk membantah idea pembuangan pekerja dan memberi cadangan alternatif.

Hari ini beliau sudah tiada. Keluarga besar MAS yang dahulu kehilangan majikan dan sahabat.

Untuk mencari pengganti seperti arwah bukan mudah.

Teringat kata-katanya, MAS sama sekali tidak boleh dicampur aduk dengan syarikat kos tambang murah kerana ia akan lebih memudaratkan MAS lagi.

Kerajaan mesti mendapatkan formula yang baru dan tepat untuk MAS tetapi perlu segera memperbaiki sistem pentadbiran pengurusan MAS.

Saya setuju dengan pandangan Allahyarham.

Untuk MAS meraih keuntungan semula, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dan mesti bersikap telus dan jujur.

Yang pastinya, MAS tidak boleh jatuh ke pihak luar yang tidak kenal, apatah lagi mendalami isu-isu MAS.

Ada pihak yang mahu MAS untuk memastikan kejayaan syarikat mereka tetapi bukan untuk menyelamatkan MAS.

MAS sememangya boleh mengaut keuntungan malah boleh mencapai status terbaik dunia jika ada pengurusan yang betul- betul cekap, jujur dan berterus-terang dengan pekerja mereka.

Yang pasti, kerajaan harus mencari “tokoh” baru dengan cepat untuk mengembalikan semangat pekerja semula.

Perjuangan ini masih belum selesai dan kita hanya boleh mengharapkan kerajaan membuat keputusan terbaik yang terakhir untuk memastikan MAS kembali sebagai “World Best Airline”.

Kehilangan tokoh seperti arwah Tan Sri sepatutnya dijadikan iltizam kepada ramai pihak untuk sama-sama bangkit menyelamatkan MAS daripada terjatuh lagi.

Kebangkitan MAS bukan sekadar melihatnya terbang di awan biru, tetapi keupayaannya ‘menggegarkan’ semula industri penerbangan.

Tidak seperti sekarang, MAS sekadar terbang di udara tetapi hala tujunya pada masa depan sukar diramalkan.

Sekian,

Ismail Nasaruddin
Presiden NUFAM
Bekas Ketua Pramugara MAS 1988-2013.