PU Abu dan isterinya, Hana Azraa

KUALA LUMPUR- Peserta rancangan televisyen, Pencetus Ummah (PU) Muhammad Sufyan Mohd. Mokhtar Rozaidi menafikan dakwaan isterinya bahawa beliau telah curang ketika Hana Azraa sedang mengandung.

Muhammad Sufyan atau lebih dikenali PU Abu yang sebelum ini pernah dilanda kontroversi kerana menceraikan isteri pertamanya yang sedang sarat mengandung ketika itu dan mengahwini Hana Azraa menjelaskan, maklumat yang disebarkan isterinya itu adalah satu spekulasi semata-mata.

Malah gambar yang dimuat naik oleh Hana Azraa dalam satu hantaran di Instagram juga menurut PU Abu, tidak diketahui sumbernya dan sekadar untuk mengaibkan seseorang.

“Hakikat sebenarnya…hal yang melibatkan kecurangan tidak berlaku dan hanyalah salah faham,” katanya dalam satu hantaran di Instagram hari ini.

PU Abu yang ketika ini berada di Mekah kerana bertugas berkata, beliau akan pulang ke tanahair dalam beberapa hari lagi dan akan memberi penjelasan penuh mengenai isu itu.

Buat sementara waktu, beliau meminta semua pihak termasuk media untuk berhenti menyebarkan berita viral yang dicetuskan isterinya sendiri.

Terdahulu, Hana Azraa telah memuat naik sekeping gambar wanita tidak bertudung di Instagram dengan kapsyen “Adakah ini dia? Betapa lovely kekasih hati awak #myhusbandlover #whoisshe #youknowher.”

Status tersebut bagaimanapun telah dipadam.

PU Abu mengahwini Hana Azraa pada Mei tahun lalu.-MalaysiaGazette