Zuraida Kamaruddin
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin. foto NOOREEZA HASHIM, 08 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin tidak pernah menerima surat saman daripada Setiausaha Agung parti itu seperti yang didakwa hari ini.

Mengesahkan perkara tersebut, Setiausaha Politik Zuraida yang menyifatkan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memanipulasikan fakta.

Perkara itu jelas Nor Hizwan Ahmad disahkan oleh Zuraida sendiri yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang kini berada di luar kawasan atas urusan kerja.

“YB Zuraida Kamaruddin kini berada di luar kawasan atas urusan kerja dan beliau sendiri mengesahkan bahawa tiada sebarang bentuk notis atau surat saman diterimanya daripada Datuk Seri Saifuddin Nasution yang dimaksudkan.

“Oleh yang demikian ternyata kenyataan tersebut tidak benar sama sekali,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Hari ini Saifuddin berkata Naib Presiden PKR itu bukan hanya menerima surat tunjuk sebab atas salah laku disiplin malah turut menerima surat saman darinya.

Saifuddin berkata, surat tunjuk sebab dikeluarkan Lembaga Disiplin PKR manakala surat saman dikeluarkan kerana mendakwa Zuraida mengeluarkan pertuduhan fitnah terhadapnya.

Zuraida pada 18 Januari yang lalu diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya atas dakwaan salah laku disiplin.

Lembaga Disiplin PKR dilaporkan telah memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti termasuk Zuraida yang dipercayai berkait dengan insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Disember lalu.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Zuraida dapat surat saman daripada Saifuddin