P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, Melaka, G Saminathan yang dituduh menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) didakwa disifatkan menerima layanan lebih ‘teruk’ daripada pesalah yang melakukan pembunuhan di negara ini.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mendakwa Saminathan dilayan sedemikian rupa hanya kerana dituduh memiliki barangan yang dikaitkan LTTE yang sudah lama tidak aktif.

Tulis Ramasamy, hakikat sebenar adalah bukan tentang penghakiman di mahkamah atau undang-undang SOSMA,  sebaliknya pendirian oleh kerajaan yang menjanjikan pindaan serta reformasi dalam menangani undang-undang yang ‘menjijikkan’ itu sebelum ini.

Ramasamy yang juga ADUN Perai (DAP) menulis dalam laman sosial Facebooknya berkata, keputusan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh yang menolak ikat jamin Saminathan mengikut Seksyen 388 Tatacara Jenayah.

Ahmad Shahrir juga memutuskan ikat jamin tidak boleh diberikan kepada Saminathan sehingga kesnya selesai atas alasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengklasifikasikan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

“Kata hakim beliau terikat dengan hukuman yang dikenakan bawah akta itu yang boleh membawa kepada penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun penjara.

“Walaupun Ahmad Shahrir ada menyatakan wujudnya fakta bahawa ada kemungkinan LTTE ini sudah tidak berfungsi lagi di negara lain namun hakikatnya ia belum diwartakan sedemikian rupa di negara ini, sekaligus beliau masih boleh menganggapnya sebagai kumpulan pengganas lagi.

“Tetapi pelik sekali kerana dalam undang-undang yang sama, pernah juga ada kes-kes tertentu yang dibenarkan ikat jamin termasuk seseorang yang melakukan pembunuhan.

“Hakikatnya Saminathan sedang menerima layanan jauh lebih teruk daripada seseorang yang telah melakukan pembunuhan.

“Bukankah PH seperti yang dijanjikan dalam manifesto mahu undang-undang menjijikan seperti ini dimansuhkan terus, adakah PH mahu terus bertoleransi dan menerima sahaja undang-undang seperti ini,” soalnya.

Ahmad Shahir dalam penghakimannya berkata, KDN melalui Seksyen 66B dan 66D Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) telah mewartakan LTTE sebagai entiti ditentukan berkaitan dengan suatu perbuatan keganasan yang mempunyai erti yang sama dengan Seksyen 130B Kanun Keseksaan.

“Negara kita masih mewartakan LTTE sebagai kumpulan pengganas dan KDN masih belum menyahkannya daripada senarai pewartaan, walaupun ada dakwaan bahawa ia telah dibubarkan di negara asalnya, Sri Lanka,” katanya.

Ahmad Shahrir berkata, kesalahan dilakukan tertuduh di bawah Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, telah memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

“Biasanya, mahkamah tidak dapat memberikan jaminan atas kesalahan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati,” katanya. –MalaysiaGazette

LTTE masih lagi sebuah organisasi pengganas yang aktif – Hakim