KUALA LUMPUR – Parti Putra Malaysia menggesa kerajaan Pas Kelantan memberi maklum balas yang munasabah berhubung pembelian 14 kereta Mercedes baharu untuk kegunaan Menteri Besar dan anggota Exconya.
Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, jawapan itu mestilah boleh diterima oleh rakyat Kelantan yang khususnya masih hidup dalam belenggu kemiskinan sejak sekian lama.
“Saya tidak pasti jumlah tepat dibelanjakan kerajaan negeri untuk membeli Mercedes mewah itu, tetapi ianya mencecah jutaan ringgit.
“Jawapan yang kita terima sebelum ini, kononnya kereta digunakan oleh Datuk Ahmad Yakub itu telah digunakan zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi, maka layak dilupuskan dan Menteri Besar berhak terima kereta baharu.
“Serentak itu juga semua anggota Exco turut mendapat kereta baharu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Jumaat minggu lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, kerajaan negeri menggunakan kereta jenis Merceders-Benz sebagai kenderaan rasmi atas faktor keselamatan.
Beliau berkata, penggunaan kenderaan rasmi untuk menteri besar itu telah dimulakan sejak era pentadbiran Allahyarham Nik Abdul Aziz lagi.
Menurut Dr. Ibrahim, beliau berpendapat, isu mengganti kereta menteri besar dan anggota Exco pada asasnya tidak menjadi masalah, tetapi yang timbul isu kenapa membeli kereta mewah yang terlalu mahal memandangkan pendapatan kerajaan Kelantan tidak seberapa.
“Segala perbelanjaan ini pun mengharapkan wang dari kerajaan pusat dan hendak membayar gaji pun mengharapkan kerajaan pusat.
“Pakai atau belilah kereta yang harganya munasabah seperti kenderaan berharga RM100,000 hingga RM120,000 sebuah. Besar sangatkah bandar Kota Bharu hingga hendak berjalan pun beli Mercedes-Benz beratus ribu ringgit sebuah?
“Sepatutnya kerajaan Pas Kelantan menjadi pimpinan tauladan. Apabila kerajaan menasihatkan rakyat berjimat cermat, pemimpin pun kenalah berjimat cermat,” katanya.
Ini katanya, cakap tidak serupa bikin dan lebih kepada hendak berlagak, sedangkan kerajaan Pas mengamalkan kepimpinan Islam serta diketahui seluruh rakyat di Malaysia.
Ujar beliau, sekurang-kurangnya kerajaan Pas boleh memilih kereta nasional yang harganya lebih rendah dan banyak duit rakyat boleh diselamatkan.
Kata Dr. Ibrahim, tempoh edah kerajaan sekarang ini ada lagi tiga tahun, yang mana pada Mei 2023 akan diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dengan sendirinya, ujar beliau, anggota Exco yang memiliki Mercedes-Benz itu boleh memiliki kereta itu dengan harga murah dan pembelian itu adalah dari wang serta cukai rakyat.
“Betul-betul tak malu, tak ada maruah dan memalukan. Sepatutnya mereka boleh tunjuk tauladan lebih baik kepada kerajaan negeri lain. Ini akan jadi bahan ketawa oleh bukan Islam terhadap mereka, yang cakap tak serupa bikin,” katanya.
Dr. Ibrahim turut menegur pemberian khas RM50,000 kepada anggota Exco, sedangkan masing-masing sudah bergaji besar dan mendapat elaun lagi, manakala rakyat terus mengikat perut dan hidup dalam kemiskinan.
Sementara itu, beliau juga meminta kerajaan negeri menjelaskan sama ada betul atau tidak beberapa cukai telah dinaikkan berlipat kali ganda di Kelantan.
“Saya minta penjelasan dari kerajaan negeri khususnya menteri besar, sebab ada dakwaan sejak 2019 kerajaan negeri dikatakan telah menaikkan cukai hasil tanah.
“Semua urusan tanah, cukai tanah telah dinaikkan. Begitu juga bayaran proses ubah syarat tanah dan pecah lot telah naik terlalu banyak dan mengejutkan,” katanya.
Beliau menyatakan, tanah di Kelantan tidak ada nilai, di mana rakyat hendak mendapatkan duit yang begitu banyak untuk membayar premium yang begitu tinggi.
“Inikah cara kerajaan Islam Kelantan mentadbir, kononnya nak mendapat tambahan pendapatan untuk kerajaan negeri, tapi dengan cara peras keringat rakyat, peras darah rakyat.
“Sepatutnya yang tinggi diturunkan, cari jalan lain yang lebih kreatif untuk meringankan beban rakyat,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan rumah kedai yang dibina atau dibeli tidak ada penyewa berikutan keadaan ekonomi Kelantan yang agak lembab dan menguncup.
“Jadi, pemilik atau penyewa rumah kedai hendak bayar cukai tanah dan cukai pintu setiap tahun pun susah, sebab begitu tinggi. Kami minta menteri besar dan kerajaan negeri jawab.
“Kalau tak betul, kata tak betul, saya boleh tarik balik dakwaan saya ini, malah nak suruh saya minta maaf pun saya akan minta maaf, tetapi ini yang saya diberitahu, bahawa cukai naik begitu tinggi sekali, dan ini satu kezaliman,” katanya. – MalaysiaGazette
Betul seratus peratus apa yg datuk Him cakap ,pecah lot tanah untuk 3 lot bersih kena habis dlm 18k , kerajaan yg x tahu terima kasih pada rakyat kerana rakyat lah pas sekarang masih lagi jadi kerajaan di kelantan
Kerajaan kltn hanya ibarat sebagai pihak yg mengurus kan harta rakyat dgn ambil kesempatan dari jawatan utk mengaut kesenangan anggota tidak sedikit pon misi utk membangunkan rakyat atau membimbing rakyat kearah yg lebeh dgn memudahkan hidup rakyat ,rakyst kltn hidup dlm kesempitan bergantong hidup dgn usha sendiri dan khairat bumi yg di beri allah. selainmkn gaji dgn kerajaan pusat dan anak2 di perantauan.