Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kerajaan tidak boleh memandang sebelah mata penolakan besar-besaran rakyat, cendikiawan dan budayawan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sama ada ketika pertama kali dilaksanakan dan sekarang.

Ini kerana pelbagai kajian dan rekod lampau telah membuktikan dasar tersebut gagal dan telah menyebabkan kemerosotan prestasi pelajar dalam dua bidang kritikal itu.

PPSMI diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri keempat pada tahun 2003 telah mendapat bantahan pelbagai pihak.

Selain itu dapatan kajian juga mencadangkan ianya tidak bersesuaian menyebabkan kerajaan pada Julai 2009 mengambil keputusan untuk memansuhkan sepenuhnya dasar tersebut pada 2012.

Menurut Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid, pencapaian pelajar dalam subjek Sains pada tahun 2003 sebelum PPSMI dilaksanakan berada di kedudukan 20 daripada negara-negara yang dinilai tetapi menjunam lebih 10 anak tangga ke tempat 32 pada tahun 2011.

Kedudukan Malaysia naik sedikit pada tahun 2015 selepas kerajaan memansuhkan dasar tersebut.

Perkara yang sama juga berlaku di dalam matapelajaran sains apabila pelajar Malaysia berada di kedudukan 16 dari negara yang dinilai pada tahun 1999 melihatkan penurunan hingga pada kedudukan 27 pada tahun 2011 dan hanya pulih sedikit pada kedudukan 22 pada tahun 2015

“Berdasarkan bukti dinyatakan dan juga pelbagai laporan serta kertas perbincangan berkenaan PPSMI dibentangkan, menjadi persoalan sekarang ialah atas pertimbangan apakah pihak Kementerian Pendidikan mengambil keputusan ini?

“Atas dapatan dan bukti apakah yang membuatkan pihak Kementerian Pendidikan bertegas untuk mengembalikan polisi gagal ini, tanpa mengadakan sebarang perundingan dan perbincangan khususnya dengan pemegang taruh di dalam isu ini?

“Kesilapan yang lama jangan diulangi dan masa depan anak- anak Malaysia jangan sekali lagi dipertaruhkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Izzat Afifi, kerajaan tidak boleh mengambil jalan mudah dengan mengajar Matematik dan Sains di dalam Bahasa Inggeris dengan alasan memudahkan pembelajaran sedangkan tindakan itu ternyata tidak mampu membantu meningkatkan kefahaman matapelajaran berkenaan.

Katanya, MBM berpendirian polisi Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) adalah formula terbaik bagi menangani isu tersebut.

Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu seperti terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996 yang seharusnya diperjuangkan oleh kerajaan.

“Ribuan ilmuwan dan saintis dilahirkan oleh sistem pendidikan kebangsaan yang mana mengajarkan Matematik dan Sains di dalam Bahasa Melayu.

“Banyak negara yang mengajarkan Matematik dan Sains di dalam bahasa ibunda mereka tanpa sedikitpun mengurangkan kemampuan mereka di dalam menjadi bangsa pengeluar ilmu dan teknologi.

“Malah menurut Profesor Datuk Dr Wan Ramli Wan Daud, Bahasa Inggeris hanya menjadi bahasa defacto untuk Sains dan Matematik sekitar 1960, setelah Persidangan Solvay menukar bahasa perantaraannya dari Bahasa Perancis ke Bahasa Inggeris,” katanya lagi.- MalaysiaGazette