KUALA LUMPUR- Pemansuhan aliran Sains dan Sastera mempunyai kebaikannya sendiri namun jika tidak dilaksanakan dengan baik boleh menyebabkan kegagalan.

Ini kerana menurut Setiausaha Agung Pemuda MCA, Daniel Wa Wai How dasar tersebut akan menghadkan pilihan subjek bagi pelajar khususnya yang bersekolah di luar bandar dan mengalami masalah kekurangan guru serta kemudahan yang sesuai.

Katanya, kerajaan seharusnya menangani isu kekurangan guru dan sumber terlebih dahulu sebelum memansuhkan aliran Sains dan Sastera.

“Jelas dilihat bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah gagal membuat kajian dan persiapan terlebih dahulu sebelum melaksanakan dasar ini.

“Hari ini, adanya rungutan daripada pihak guru yang mengatakan bahawa dasar baharu ini susah dilaksanakan. Ini menyerlahkan kedegilan dan ketidakcekapan kerajaan Pakatan Harapan, terutamanya Kementerian Pendidikan.

“Sudah hampir 21 bulan Malaysia di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, tetapi banyak kegagalan dan kesilapan telah dilakukannya, terutamanya dari segi pendidikan.

“Banyak yang dijanjikan, dan banyak pula kehampaan. Selepas peletakan jawatan mantan Menteri Pendidikan Dr. Maslee Malik, apakah sumbangan Timbalannya, Teo Nie Ching sehingga hari ini?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyentuh mengenai cadangan untuk memperkenalkan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Daniel berpendapat, kerajaan perlu belajar daripada kesilapan semasa pelaksanaan dasar berkenaan buat kali pertama pada tahun 2003.

“Tiada apa-apa kajian ataupun persiapan dibuat sebelum ia diumumkan.

“Sepanjang 21 bulan yang lalu, rakyat sudah bosan dan muak dengan kerajaan PH yang sering membuat pusingan-U berturut-turut, dan merupakan pusingan U yang terbaru.

“Jika kerajaan PH tidak mempelajari daripada kesilapan semasa pelaksanaannya pada kali pertama di tahun 2003, pelaksanaan kedua PPSMI juga akan gagal.

“Mungkin kerajaan PH sudah biasa dengan kegagalan mereka, tetapi janganlah sehingga mengorbankan masa depan anak-anak kita,” katanya lagi.- MalaysiaGazette