Keadaan kawasan kemalangan kereta api laju yang terbalik di bandar Lodi, Itali. foto Agensi

MILAN – Dua pemandu kereta api laju maut manakala dua lagi cedera selepas pengangkutan itu tergelincir di utara bandar Lodi.

Kemalangan tersebut berlaku semasa kereta api laju itu dalam perjalanan dari Milan ke bandar Salerno.

Susulan kejadian itu, semua perkhidmatan laluan kereta api laju Milan-Bologna telah digantung dan dialihkan melalui laluan konvensional.

Ia adalah kemalangan pertama membabitkan kereta api laju di negara ini.

Syarikat kereta api laju itu berkata, pengangkutan itu telah melanggar kereta api barang yang bergerak selari dengannya sebelum merempuh sebuah bangunan.

Akibat perlanggaran itu bahagian hadapan kereta api berkenaan dan gerabak pertama terpisah dengan gerabak yang lain dan terbalik.

Agensi berita Ansa berkata, kerja-kerja penyelenggaraan di laluan kereta api itu sedang dijalankan.

Semasa kejadian terdapat 33 orang penumpang dan hanya sejumlah kecil mengalami cedera ringan. – MalaysiaGazette