Armada Kelantan menyatakan sokongan terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KOTA BHARU – Armada Kelantan menafikan tohmahan yang dilemparkan kepada ketua sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan beliau telah gagal mengemudi Armada dengan sebaiknya.

Sehubungan dengan itu, Ketua Armada negeri, Asran Alias berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan Khamis lalu yang dihadiri majoriti ketua bahagian dan menyatakan ikrar menyokong kepimpinan Syed Saddiq.

Katanya, perjumpaan tersebut turut dihadiri Sdr Rafiq Hakim Razali, Bendahari Armada Nasional.

“Kami berpandangan, beliau menjalankan fungsinya dengan sangat baik seperti khususnya di Kelantan.

“Banyak acara dan program telah dilaksanakannya bermula tahun 2018 lagi usai kemenangan pilihan raya seperti Kibarkan Jalur Gemilang, Majlis Berbuka Puasa, Korban Perdana, Bantuan Banjir, Program Kembali ke Sekolah, Acara GEGAR19, Rapat Umum dan terakhir sekali program Kad Kebajikan Armada Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Asran, selain usaha di peringkat parti, Syed Saddiq yang merupakan Menteri Belia dan Sukan juga melaksanakan pelbagai program yang berkaitan dengan portfolio kementerian berkenaan di Kelantan.

Beliau turut mengajak akar umbi supaya mengamalkan sifat sabar dan bersyukur dalam menilai prestasi pemimpin.

“Proses penambahbaikan dan perbincangan perlu dibuat dan menerima hasil perbincangan secara positif.

“Akhir sekali, Armada Kelantan bersepakat akan menyokong YB Syed Saddiq sebagai Ketua Armada Nasional pada pemilihan akan datang.

‘Peluang harus diberikan bagi membawa agenda negara terutama membangunkan belia ke arah masa depan yang lebih produktif dan inklusif,” katanya.

Semalam Felo Akademik Universiti Utara Malaysia, Muhammad Muzzammil Ismail  mengumumkan hasratnya untuk bertanding bagi jawatan Ketua Armadapada pemilihan parti itu nanti.

Muhammad Muzzammil, 30, yang merupakan Exco Armada Nasional membuat pengumuman berkenaan di Majlis Pelancaran Pertubuhan Angkatan Baru Malaysia di Shah Alam. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Felo Akademik UUM umum cabar Syed Saddiq