Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Industri penerbangan Malaysia berdepan risiko kehilangan pendapatan kira-kira RM371.6 juta apabila Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) bertindak menurunkan penarafan Malaysia ke Kategori 2 dari aspek keselamatan.

Daripada jumlah itu, kerugian besar bakal ditanggung oleh syarikat-syarikat penerbangan tempatan iaitu sebanyak RM360.8 juta manakala pengendali lapangan terbang pula akan kehilangan pendapatan sebanyak RM10.8 juta, kata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Dalam kenyataan pertama sejak FAA menurunkan penarafan Malaysia pada 11 November tahun lepas, Ketua Pegawai Operasi agensi tersebut, Azmir Zain berkata, impak lebih besar boleh berlaku sekiranya langkah FAA itu disusuli oleh pihak berkuasa penerbangan awam negara-negara lain.

Situasi sedemikian pernah berlaku kepada Thailand pada 2015 apabila FAA menurunkan penarafan negara tersebut ke Kategori 2 dan ini disusuli oleh Jepun, China dan Korea Selatan yang menyekat syarikat penerbangan negara gajah putih itu untuk membuka laluan baharu di ketiga-tiga negara berkenaan.

Tegas Azmir, sekiranya perkara sedemikian berlaku, pendapatan industri penerbangan Malaysia bakal berdepan kerugian RM4.4 bilion.

Meskipun tiada pengumuman rasmi dilakukan, tindakan FAA itu mungkin menyebabkan pihak berkuasa penerbangan awam lain mendiskriminasi syarikat penerbangan Malaysia ketika membuat keputusan membabitkan laluan di negara mereka.

Ini akan menyebabkan hak laluan udara akan berkurangan di samping menyaksikan lapangan terbang di negara ini tidak lagi mempunyai daya tarikan.

“Impaknya mungkin minimum (ketika ini) tetapi jika tindakan FAA itu mencetuskan audit sama daripada pihak berkuasa penerbangan lain, kesannya akan menjadi lebih besar,” katanya ketika membentangkan Hala Tuju Industri Penerbangan Awam di Malaysia mengikut Cara Ekonomi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mavcom katanya, skeptikal dengan keyakinan kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu yang menyebabkan FAA bertindak menurunkan taraf Malaysia ke kategori 2 dalam tempoh setahun.

Ketua Pegawai Operasinya, Azmir Zain berkata, berdasarkan pengalaman Thailand dan Filipina, tempoh yang diambil untuk menaikkan semula penarafan tersebut adalah lebih lama.

“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Kementerian Pengangkutan menzahirkan keyakinan mereka bahawa pelan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan dan meminta FAA melaksanakan penilaian semula dalam tempoh 12 bulan.

“Berdasarkan pengalaman negara-negara lain, sasaran itu tidak dapat dipastikan sama ada realistik atau tidak kerana Thailand masih belum lagi mendapat semula status Kategori 1 selepas diturunkan penarafannya pada 2015 manakala Filipina mengambil masa selama enam tahun untuk mendapat semula status berkenaan,” katanya lagi.

Pada 11 November tahun lepas, FAA mengumumkan CAAM tidak memenuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menyebabkan status Malaysia diturunkan daripada Kategori 1 kepada Kategori 2.

Kategori 2 menunjukkan CAAM tidak efisyen dalam satu atau lebih isu membabitkan kepakaran teknikal, kakitangan terlatih, penyimpanan rekod dan/atau prosedur pemeriksaan.

Dengan itu, syarikat-syarikat penerbangan Malaysia dilarang daripada meluaskan laluan sedia ada atau menambah destinasi baharu di Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette