Korea Utara didakwa melepaskan sekurang-kurangnya satu peluru berpandu dari Wonson, pada 10 September 2019 -foto Agensi

NEW YORK – Korea Utara terus mempertingkatkan program nuklear dan peluru berpandu tahun lalu, sekali gus melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menurut laporan sulit yang dilihat Reuters.

Negara itu juga mengimport minyak secara haram dan mengeksport sejumlah AS$ 370 juta arang batu dengan bantuan tongkang China.

Laporan 67 muka surat kepada Jawatankuasa Sekatan Korea Utara, Majlis Keselamatan PBB itu akan dijadikan laporan awam pada bulan depan.

“Pada tahun 2019, Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) tidak menghentikan program peluru berpandu nuklear dan balistik haramnya, yang mana ia terus dipertingkatkan, melanggar resolusi Majlis Keselamatan,” kata pengawal bebas PBB.

Menurutnya, walaupun kemampuan pribumi yang luas, ia turut menggunakan perolehan luar secara haram untuk beberapa komponen dan teknologi.

Korea Utara telah dikenakan sekatan PBB sejak tahun 2006.

Sekatan itu telah diperkukuhkan oleh 15 ahli Majlis Keselamatan PBB selama bertahun-tahun dalam usaha untuk memotong pembiayaan bagi program peluru berpandu nuklear dan balistik Pyongyang.

Para pemantau sekatan mendakwa, Korea Utara mula mengeksport berjuta-juta ton komoditi – diharamkan sejak 2017 – menggunakan tongkang.

“Menurut Negara Anggota, Korea Utara mengeksport 3.7 juta metrik tan arang batu antara Januari dan Ogos 2019, dengan anggaran nilai AS$ 370 juta.

“Eksport arang batu dianggarkan 2.8 juta tan metrik dilakukan melalui pemindahan dari kapal Korea Utara ke tongkang China,” kata laporan tersebut.

Negara anggota yang tidak dikenali memberitahu tongkang-tongkang tersebut membawa arang batu terus ke tiga pelabuhan di Teluk Hangzhou Bay dan ke kemudahan di sepanjang Sungai Yangtze.

Pemantau PBB juga berkata, negara anggota melaporkan Korea Utara telah mengeksport sekurang-kurangnya satu juta tan pasir dari pengorekan sungai bernilai sekurang-kurangnya AS$ 22 juta ke pelabuhan China.

China yang merupakan sekutu Pyongyang telah berulang kali menyatakan ia mematuhi sekatan PBB.

Dalam satu kenyataan, wakil China di PBB menyifatkan sebarang tuduhan terhadap China adalah tidak berasas. – MalaysiaGazette