Jika ia benar- benar terjadi, siapa menang dan siapa kalah belum pasti tetapi apa yang pasti Melayu akan terus lemah dan akhirnya hancur itu semakin menjadi realiti.- pix hiasan

DI KALA rakyat bergelut dengan 1001 cabaran untuk meneruskan kehidupan khususnya orang Melayu, pemimpin tertinggi bangsaku terus menyusun strategi dan langkah untuk agenda lebih besar buat mereka iaitu tentang bagaimana untuk terus berkuasa mahupun merebut kuasa.

Kebajikan rakyat nampaknya menjadi perkara sampingan sahaja. Janji-janji dilafazkan bagai sumpah sang pendekar satu ketika dahulu kini sepi tanpa rasa bersalah dihati mereka.

Transisi pertukaran tampuk kepimpinan yang sepatutnya dilakukan di belakang tabir dengan penuh tertib, berhemah dan penuh keinsafan di antara yang sedang kepada yang bakal menggalas amanah yang maha berat tidak begitu nampaknya.

Lebih dukacita, ia tampak semakin hari semakin kasar, keras dan menggila.

Menang Jadi Arang Kalah Jadi Abu

Tanpa henti dan rasa malu pemimpin bangsaku terus mencatur muslihat demi muslihat demi matlamat nan satu iaitu jatuh menjatuhkan di antara satu sama lain.

Senyuman manis benar-benar membuat mereka yang naif berasa lega melihat pemimpinnya baik-baik sahaja tetapi kepada sesetengah pula tahu bahawasanya senyuman itu hanyalah ‘tirai’ yang menutup perseteruan dan dendam yang tidak pernah kunjung padam sejak sekian lama.

Bangsaku, sesungguhnya, kemuncak pertempuran itu semakin hampir. Ada yang cuba menjadi pendamai dengan memujuk dan merayu demi kebaikan bangsa kita Melayu. Ada juga memilih untuk terus berseteru.

Jika ia benar- benar terjadi, siapa menang dan siapa kalah belum pasti tetapi apa yang pasti Melayu akan terus lemah dan akhirnya hancur itu semakin menjadi realiti.

Sedsrlah, jika jurus akhir iaitu aku mati atau kamu mati itu diledakkan, maka saksikanlah kalian wahai putera dan puteri bangsaku akan kehancuran bangsamu Melayu.

Kita lemah dan mungkin hancur bukan disebabkan musuh terlalu kuat tetapi kerana pemimpin-pemimpin bangsamu memilih mentera menang jadi arang, kalah jadi abu.

Indahnya Jika Mampu Bertenang

Pemimpin-pemimpin bangsaku, bertenanglah. Hentikanlah melihat diri kalian atau kaum kerabat kalian sebagai lebih tahu dan pandai dari kelompok Melayu yang lain dalam mentadbir urus negara ini.

Carilah anak bangsamu yang bijak, gigih, berjiwa rakyat dan berintegriti terpuji untuk membantu kalian memajukan rakyat dan negara ini. Sesungguhnya itu jauh lebih baik dari kalian terus-terusan berpolitik.

Sewajarnya kalian perlu lebih berjiwa besar dari rakyat jelata. Ingatlah, kerana jiwa besar majoriti rakyat Malaysialah yang membolehkan kalian menduduki Putrajaya.

Maka, tunjukkanlah pula jiwa besar kalian dengan melakukan transisi peralihan kuasa itu dengan molek lagi bestari. Sudah-sudahlah bermain politik bak umpama Ali Baba dengan 40 pencuri.

Sedarkah kalian bahawasanya rakyat tidak akan menghormati kalian selagi kalian tidak menghormati mereka.

Ingatlah apa yang kalian rebutkan hari ini akan menjadi mimpi ngeri sahaja dalam tempoh beberapa tahun lagi jika kalian terus-terusan berperangai seperti hari ini.

Kesimpulan

Berhemahlah dalam menangani isu peralihan kuasa. Jangan terus-terusan membincangkan atau berbalah akan hal ‘rumahtangga’ di tempat terbuka kerana kelak kalian juga yang malu dan hina.

Di masa sama berkerjalah bersungguh-sungguh dalam membantu rakyat jelata khususnya orang Melayu dan apa juga bangsa yang masih tercicir, terpinggir dan dilupa kerana lemah dan miskin mereka.

Ingatlah pesan ini..
Jangan kalian berlagak suci..
Jika hati penuh hasad dengki..
Jangan kalian terus berjanji..
Jika sering lupa diri..

Jangan kalian berlagak berjiwa hamba..
Jika diri beraja di hati bersultan di mata..
Jangan kalian terus mengulang kata..
Jika tindakan penuh pura-pura..

Jangan kalian terus bicara umpama pendita..
Jika hati tidak pernah jujurnya akannya..
Jangan kalian terus mendusta bangsa..
Jika tidak mahu dikenang sebagai penghancur bangsa pengkhianat agama..

PROF. DR. HAIM HILMAN

Pensyarah Pengajian Strategik, Universiti Utara Malaysia.

 

1 Komen

  1. Saya seru penulis untuk menghantarkan keluhan hatinya kepada PM dan menteri-menteri yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Insha Allah, mereka akan insaf dengan segala tipu-daya yang mereka lakukan sebelum pilihanraya yang lalu dan apa yang mereka buat pada rakyat dan negara dewasa ini. Kalau boleh mereka harus berorientasi berfikir secara Islam. Segala perbuatan kita di muka bumi ini akan dipersoal di akhirat kelak.

Comments are closed.