Mohamad Ezam Mohd Nor
Mohamad Ezam Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mendakwa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin menjadi orang tengah dalam pertemuan pemimpin Pas dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di London.

Ezam turut mendakwa Mohamed Azmin merupakan individu yang memulakan langkah untuk merosakkan peralihan kuasa antara  Mahathir dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Azmin jadi Menteri Ekonomi yang sabotaj ekonomi. Inilah satu menteri Malaysia di mana dia merosakkan peralihan kuasa.

“Kalau dia tidak mula, ingat UMNO nak buat. Dia ingat Pas terhegeh-hegeh nak buat (undi percaya PM). Ini semua kerja dia sebab itu dia bawa Menteri Besar Terengganu dan pemimpin Pas pergi London jumpa Tun Dr Mahathir. Bukan sekali tapi dua kali.

“Dia akhirnya sabotaj ekonomi negara. Dia kaburkan peralihan kuasa sebab nak selamatkan diri dia dan sanggup jadi alat dan perkakas Mahathir,” katanya dalam satu video yang tersebar hari ini di aplikasi WhatsApp hari ini.

Untuk rekod, Mahathir mengadakan lawatan kerja tiga hari ke United Kingdom pada Jun tahun lalu.

Ezam berkata, antara pemimpin Pas yang mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu adalah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun, Ezam tidak pula menamakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang samada turut hadir dalam pertemuan itu.

Ezam sejak kebelakangan ini dilihat aktif berceramah dan meminta Mahathir mempercepatkan proses peralihan kuasa perdana menteri kepada Anwar.

Dakwaan Ezam itu dikuatkan lagi dengan langkah Pas untuk mengusulkan undi percaya kepada Mahathir dalam sidang Dewan Rakyat yang akan dimulakan bulan hadapan.

Ia disahkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata langkah itu perlu dalam menangani kemelut peralihan kuasa ketika ini membabitkan Mahathir yang dikatakan akan ‘mengganggu kestabilan politik dan ekonomi’. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. I thought they were good friends, but now they are fighting for power and position. Macam ini Malaysia akan hancur. Mereka asyik pentingkan kedudukan dan populariti diri mereka dan tidak pedulikan nasib rakyat yang menderita. Dari kedudukan atas sampai ke bawah, semua pemimpin PH sama saja. Tidak boleh diharapkan. Harapan rakyat hanya satu sajaha, bubar parlimen dan serah kuasa pada rakyat. Ramai di luar sana menyesal kerana pangkah PH. Kerajaan sekarang didirikan dengan konspirasi, membohongan dan tipudaya. Rakyat rasa diri mereka tertipu oleh janji-janji manis PH. May God save Malaysia.

Comments are closed.