LONDON – Dua gol menerusi tandukan memberikan Manchester United kemenangan 2-0 di Chelsea, sekali gus membuka peluang semula buat pasukan itu untuk memburu empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Dalam saingan pantas pagi tadi, skuad Ole Gunnar Solskjaer memanfaatkan peluang ketika Chelsea pula mensia-siakan banyak kesempatan.

Tandukan baik Martial sebelum tamat babak pertama hasil hantaran Aaron Wan-Bissaka meletakkan pelawat di depan.

Pertahanan, Harry Maguire mengukuhkan kedudukan apabila mendapatkan gol kedua pada minit ke-66 selepas mengatasi kawalan Antonio Rudiger dan menanduk masuk hantaran lintang pemain baharu United dari Portugal, Bruno Fernandes.

Chelsea pula terus kecewa apabila dua gol dinafikan VAR ketika Kurt Zouma meledak hasil hantaran lintang pada minit ke-54 tetapi ada pemain ditolak manakala jaringan pemain gantian Olivier Giroud pada minit ke-77 dibatalkan kerana ofsaid.

Kekalahan itu meletakkan Chelsea di tangga keempat, satu mata di depan Tottenham Hotspur yang dipimpin bekas jurulatih mereka, Jose Mourinho.

Chelsea akan menanti kunjungan Spurs Sabtu ini manakala United ke kedudukan ketujuh, tiga mata di belakang Chelsea. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast