KUALA LUMPUR – Undian pusingan pertama Piala FA 2020 membabitkan 24 pasukan yang berlangsung hari ini menyaksikan pertembungan lebih menarik bakal disajikan bagi memburu 12 slot ke pusingan kedua.

Dalam 12 perlawanan yang akan berlangsung pada 22 dan 23 Februari ini, perlawanan membabitkan antara dua pasukan Liga M3, Harini KS FC dan Northern Lions Football Club (NLFC)- MAHSA dijangka akan mencuri perhatian.

Harini KS FC yang menang 5-2 ke atas Kuala Perlis FC membariskan ramai pemain berpengalaman seperti Azidan Sarudin, Abdul Manaf Mamat dan Muhd. Fakrurazi Musa akan menerima kunjungan pasukan yang diketuai pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Faiz Subri.

Skuad NLFC- MAHSA yang dikendalikan Azamri Zali mara selepas mengatasi juara Piala Terengganu Amateur League (TAL), Kerteh FC, 2-0 di Stadium Mak Chili, Kemaman.

Ujar ketua jurulatih Harini KS FC, Momcilovic Duaan Hrvatsko, dia tidak begitu mengenali pasukan lawan sebaliknya mahu memfokuskan kepada persiapan sendiri.

“Jujurnya saya tidak tahu sangat mengenai pasukan lawan, NLFC – MAHSA tetapi saya tidak mahu fikirkan perkara itu kerana yang penting adalah pasukan kami sendiri.

“Untuk saya, Piala FA ini sebagai bonus jika mampu pergi jauh kerana yang penting adalah untuk fokus kepada Liga M3 agar kami dapat layak ke Liga Premier musim depan”, katanya.

Pertembungan KT Rovers dan Thai Selangor FC juga dijangka menarik dengan pasukan dari Kuala Terengganu itu telah melaungkan amaran awal pada pusingan kelayakan apabila menang 4-0 ke atas Ultimate FC.

Thai Selangor FC yang mendapat bye pada pusingan kelayakan sebelum ini merupakan semi finalis play off ke Liga M3 dan merupakan juara Liga Komuniti Puchong.

Sarawak yang meraih banyak perhatian selepas menang besar 6-1 ke atas Red Spade FC diundi dengan Real Chukai FC yang sebelum ini mengejutkan pasukan dikendalikan Mat Zan Mat Aris iaitu Melawati FC dengan kemenangan 1-0.

Manakala KL Rovers yang dilihat mampu mara jauh dalam saingan kali ini ekoran membariskan ramai pemain berpengalaman akan berdepan pasukan dari Liga M4, Southern FC.

Menurut ketua jurulatih KL Rovers, Nazrul Erwan Makmur, dia tidak mahu memperkecilkan keupayaan Southern FC selepas mengejutkan Manjung City FC di pentas pusingan kelayakan.

“Saya pernah tengok Southern FC bermain sebelum ini tetapi dekat laman sosial sahaja dan mereka sebenarnya mempunyai pemain-pemain berbakat juga walaupun mereka daripada Liga M4.

“Saya nak pasukan saya menjaringkan gol awal supaya kita dapat beri tekanan kepada lawan dan perlu pastikan kami mampu mengawal perlawanan terlebih dahulu.

“Yang penting, bahagian pertahanan dan serangan banyak perlu diperbaiki kerana saya dapat lihat anak buah agak bergelut untuk bertahan ketika aksi kelayakan tempoh hari,” katanya.

Lain-lain perlawanan ialah Protap FC yang akan bertemu Norfarhan FC dari TAL adalah pasukan yang dimiliki bekas pemain Kelantan dan Terengganu, Norfarhan Muhammad.

Satu lagi wakil TAL, Markless ST berdepan rintangan sukar apabila akan diundi bertemu Melaka United FC manakala Armed Forces FC menjadi tuan rumah kepada SA United FC.

Juara penentuan play off ke Liga M3, KSR Sains akan berentap dengan Nossa Bukit Jelutong FC sementara Langkawi City FC bakal bertembung dengan Gamestop FC.

Apa yang pasti, tiga slot untuk pasukan M4 sudah terjamin apabila berlaku pertembungan sesama sendiri membabitkan Staroba FC dan Imigresen FC, Tun Razak City FC dan Kuatagh FC serta SSFC bertemu Kickers FC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast