Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff bergambar bersama penerima hadiah pada Majlis Penyerahan Hadiah Kempen Year End Zakat 2019 di Wisma PPZ-MAIWP Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 19 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) akan memperluaskan kaunter pembayaran zakat di kompleks beli belah terbesar di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff, kini pihaknya di peringkat kajian untuk mengenal pasti kompleks beli belah berkenaan sebelum menentukan berapa kaunter akan dibuka.

Kata beliau, langkah itu diambil sebagai usaha PPZ-MAIWP sempena Kempen Year End Zakat (YEZ) 2019 untuk memperbanyakkan kaunter pembayaran zakat, bagi memudahkan pembayar menunaikan kewajipan membayar zakat.

“Setakat ini kita menyediakan empat saluran pembayaran zakat iaitu Kaunter PPZ-MAIWP, Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB), Portal zakat.com.my, Kaunter Zakat Bergerak dan ejen PPZ-MAIWP.

“Menerusi saluran ini dan kempen berteruskan yang dijalankan pihaknya termasuk bantuan pelbagai medium media, jumlah pembakar zakat bagi tiga kawasan MAIWP iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan semakin meningkat,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan hadiah Kempen Year End Zakat 2019 di Wisma PPZ-MAIWP di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan hadiah kepada seramai 30 pemenang bertuah sempena kempen YEZ 2019 melibatkan hadiah pakej umrah, pelancongan, komputer riba dan telefon pintar.

Ahmad Shukri Yusoff

Mengenai peningkatan pembayar zakat, Ahmad Shukri berkata, pada tahun 2019 seramai 211,102 pembayar zakat direkodkan iaitu meningkat sebanyak 17 peratus berbanding 180,958 pembayar tahun 2018.

Ini, katanya, menunjukkan peningkatan sebanyak lima peratus dari jumlah kutipan iaitu RM682.2 juta pada 2019 berbanding RM651.2 juta tahun 2018.

Kata beliau, kempen YEZ 2019 akan diteruskan tahun ini dengan dinamakan YEZ 2020 dan bakal menyediakan lebih 900 hadiah untuk pembayar setia melibatkan pakej yang lebih menarik dan lumayan.

“Tujuan kempen YEZ ini adalah untuk kita menguar-uarkan kepada masyarakat Islam di tiga wilayah MAIWP mengenai perkhidmatan yang ditawarkan PPZ.

“Kita juga hendak mengingatkan kepada pembayar bahawa ada ruang untuk mereka membayar zakat melalui beberapa saluran yang disediakan,” katanya.

Beliau berharap, pembayar zakat tahun 2019 dan sebelumnya dapat meneruskan pembayaran di PPZ-MAIWP tahun ini. – MalaysiaGazette