Mah Hang Soon

KUALA LUMPUR – MCA telah memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin atas dakwaan tidak berasas kononnya pihaknya menyalahgunakan dana dalam soal pembinaan hospital untuk institusi pendidikan kendaliannya.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, writ saman MCA telah failkan di Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada 12 Februari 2020.

“Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan mengeluarkan writ saman kepada Chong Zhemin menuntut ganti rugi umum, kepentingan, kos, dan injunksi untuk menghalangnya daripada terus memfitnah MCA.

“Chong Zhemin diberi tempoh 14 hari untuk tampil hadir ke mahkamah.

“Kegagalan Zhemin hadir ke mahkamah akan memastikan MCA tidak akan teragak-agak untuk mendapatkan penghakiman gagal menghadirkan diri ke mahkamah seperti yang diperintahkan menerusi writ saman,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Hang Soon, MCA terpaksa bertindak ke atas Zhemin kerana wakil rakyat DAP itu sebelum ini mendakwa bahawa MCA menyalahgunakan peruntukan kerajaan sebanyak RM150 juta untuk membiayai pembinaan Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Menurutnya, walaupun tuduhannya telah dibantah dan telah dijelaskan oleh kenyataan Kementerian Kesihatan, beliau tidak menunjukkan sebarang rasa kesal atas perbuatannya itu.

“Malahan dia terus memfitnah MCA dengan tuduhan tidak berasas dalam isu UTAR.

“MCA juga telah berulang kali memberi amaran kepada Chong Zhemin untuk menarik balik tuduhannya selain menghentikan daripada terus melemparkan fitnah itu, tetapi dia berdegil dan nasihat MCA kepadanya menjadi sia-sia.

“Ia mengakibatkan MCA tidak mempunyai pilihan lain selain memulakan prosiding undang-undang ke atas dia (Zhemin),” tegas Hang Soon lagi. -MalaysiaGazette