Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir mesyuarat khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 24 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Setelah bermesyuarat hampir empat jam lamanya para pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berterusan mengunci mulut dengan pihak media sebentar tadi.

Antara agenda yang dipercayai telah dibincangkan termasuk kedudukan dan pendirian parti itu selepas keluar daripada gabungan Pakatan Harapan petang tadi.

Ketika diasak, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya berkata beliau tidak akan membuat sebarang kenyataan sebaliknya menyerahkan kepada Setiausaha Agung, Marzuki Yahya untuk bercakap kepada media.

“Saya tidak akan buat kenyataan mengenai mesyuarat malam ini iaitu Majlis Pimpinan Tertinggi Pimpinan.

“Kita telah bersetuju supaya Setiausaha Agung beri kenyataan.

“Saya akan serahkan kepada Setiausaha Agung supaya bercakap dengan media, tunggu beliau sebentar lagi,” katanya kepada pemberita yang sudah menanti seawal 7 petang tadi.

Muhyiddin keluar dari mesyuarat sekitar 11.55 malam manakala Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahman pulang pada jam 10.30 malam.

Syed Saddiq bagaimanapun enggan berkata apa-apa hanya sekadar senyum kepada semua.

Antara pemimpin yang kelihatan terlibat dalam mesyuarat termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Penerangan, Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Redzuan Yusuf. – MalaysiaGazette