Poster yang dimuatnaik di Facebook rasmi Parti Amanah Negara.

KUALA LUMPUR- Bukan setakat berebut jawatan Perdana Menteri malah ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut berebut Facebook rasmi parti berkenaan.

Menurut satu poster yang dimuat naik di Facebook Parti Amanah Negara, laman rasmi Bersatu telah pun “dirampas oleh pasukan pengkhianat.”

Ia mungkin ditujukan kepada kem Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini mewakili suara gabungan baru dibentuk iaitu Perikatan Nasional yang turut disertai oleh UMNO, Pas dan Gabung Parti Sarawak (GPS).

“Page rasmi yang menyokong Tun termasuk page rasmi PPBM telah diambil alih oleh team pengkhianat.

“Dapatkan maklumat sahih daripada page rasmi Parti Amanah Negara,” kata poster berkenaan.

Hari ini, kedua-dua pemimpin tertinggi parti tersebut berbalas kenyataan yang mana Muhyiddin memaklumkan Presiden perlu memangku jawatan Pengerusi sekiranya beliau berhenti atau diberhentikan sehingga diadakan pemilihan untuk memilik Pengerusi yang baharu.

Ini kerana sebelum itu, Setiausaha Agung parti Datuk Marzuki Yahya dalam satu kenyataan memberitahu, perlembagaan parti telah menetapkan satu-satunya individu yang mempunyai kuasa mutlak untuk memimpin Bersatu adalah Pengerusinya, yang mana ketika ini dipegang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.- MalaysiaGazette