KUALA LUMPUR – Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) akan mengadakan hari terbukanya di Bangunan Pengurusan Kampus Putrajaya UNITEN pada 7 dan 8 Mac ini.

Ia bermula jam 9 pagi hingga jam 4 petang bagi memudahkan pengunjung mendapat maklumat mengenai urusan pengajian di universiti berkenaan.

Program itu diharap memberi peluang kepada pengunjung untuk berinteraksi secara langsung dengan warga akademik UNITEN.

Secara amnya, idea penganjuran program seumpama ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada umum berkaitan dengan program pengajian dan kemudahan yang disediakan oleh pihak universiti.

Ia juga memberi kesempatan pihak universiti keseluruhannya bertemu dengan masyarakat dalam menyampaikan hasrat dan perkhidmatan yang disediakan UNITEN.

Antara pengisian program ialah pameran pendidikan dan kerjaya dari Kolej Ekonomi Tenaga dan Sains Sosial, Kolej Kejuruteraan, Kolej Komputeran dan Informatik, Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan serta Kolej Pengajian Siswazah.

Eksekutif Jabatan Komunikasi Korporat UNITEN, Nor Fazliza Abdul Aziz berkata, khidmat nasihat mengenai bantuan pembiayaan pendidikan turut disediakan oleh Yayasan Tenaga Nasional (YTN), Yayasan Canselor UNITEN (YCU) dan Tabung Amanah Zakat UNITEN (TAZU). Temuduga terbuka bagi Huffaz Profesional juga akan diadakan semasa hari terbuka itu nanti.

“Program Huffaz Profesional itu terbuka untuk jurusan kejuruteraan, sains komputer, perakaunan, dan pengurusan korporat.

“Tawaran istimewa turut disediakan kepada pengunjung, antaranya pemohon akan menerima surat tawaran yang akan dikeluarkan serta-merta untuk bakal pelajar yang memenuhi syarat dan kelayakan ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nor Fazliza, yuran memproses permohonan juga dikecualikan bagi pemohon dalam kalangan warga Malaysia.

Selain itu, pengecualian Bayaran Menunjukkan Kesungguhan (BMK) sebanyak RM300 akan diberikan kepada yang berjaya ditawarkan pada Hari Terbuka UNITEN, katanya.

Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.uniten.edu.my atau menghubungi 03-8921 2020. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Peluang diterima jadi pelajar di Hari Terbuka UNITEN