Aktivis, Fadiah Nadwa Fikri (dua kanan) bersama tiga rakannya berjalan keluar dari IPD Dang Wangi selepas memberi keterangan berhubung perhimpunan yang diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Peguam yang juga aktivis sosial, Fadiah Nadwa Fikri serta tiga individu lain menghabiskan masa hampir dua jam untuk menjawab soalan polis berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka Sabtu lalu.

Fadiah, Nik Azura Nik Narson, Liew Liang Hong dan Wong Yan Ke keluar dari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 2.40 petang

Ketika ditemui media, Fadiah memberitahu, soal siasat terhadapnya adalah melibatkan perhimpunan berkenaan yang diadakan tanpa mendapat notis daripada pihak berkuasa.

“Orang ramai mempunyai hak untuk memberi ucapan dan hak untuk berhimpun.

“Tidak masuk akal untuk orang ramai memberi notis bagi mengadakan perhimpunan. Kami tidak memerlukan kebenaran daripada sesiapa untuk melaksanakan hak kami,” katanya.

Fadiah menegaskan ia bukan tentang beliau tetapi ia adalah mengenai hak semua rakyat Malaysia.

“Kuasa yang boleh membawa kepada perubahan progresif radikal adalah kuasa rakyat.

“Kita perlu memikirkan tindakan kolektif untuk menyelamatkan negara daripada mereka yang tamak,” katanya.

Sementara itu, Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili aktivis berkata, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman.

“Polis melaksanakan tugas dengan baik dan melayan kami dengan baik.

“Mereka ini semua disiasat kerana mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka dan Fadiah juga disiasat oleh Bukit Aman semalam,” katanya.

Tambah beliau, tidak ada petunjuk bahawa semua aktivis berkenaan akan dipanggil semula oleh pihak polis untuk perkembangan lanjut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Puak2 ni tak pyh lh jadi barua, merosakn perpaduan ngra..ingat tu , klu nk fmous sgt, tak pyh lh nk buat kerja bodoh n blh merosakn keaman ngra.

Comments are closed.