Aktivis, Amir Abdul Hadi (tengah) bersama aktivis yang lain berjalan keluar dari IPD Dang Wangi selepas memberi keterangan berhubung perhimpunan yang diadakan di hadapan Kompleks Beli-Belah Sogo pada Ahad lalu di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang tindakan yang boleh menghentikan rakyat daripada bersuara, apatah lagi bagi menyatakan kemarahan dan menuntut hak asasi untuk berhimpun secara aman.

Demikian kata jurucakap perhimpunan Selamatkan Malaysia, Amir Hariri Abdul Hadi sambil menegaskan rakyat hanya mahu suara mereka didengari oleh pemerintah.

“Bila mana rakyat nak bersuara, beri peluang, jangan tangkap, jangan dakwa, jangan intimidasi.

“Tapi kita kata tiada apa yang boleh menghentikan (berhimpun) untuk menyatakan pendapat rakyat.

“Sama ada menjatuhkan kerajaan atau tidak, kita tetap berpegang kepada ianya perlu melalui proses pilihan raya,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Terdahulu, Amir Hariri bersama 19 individu lain dipanggil pihak polis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung penganjuran perhimpunan Selamatkan Malaysia di kompleks beli-belah Sogo, pada 1 Mac lalu.

Antaranya Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Muhammad Faiz Fadzil; Naib Ketua Pemuda Amanah Johor, Azam Mekhtar dan Aktivis Bersih 2.0, Datin Marina Mahathir.

Dalam pada itu, Amir Hariri juga menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional tidak mendapat mandat rakyat pada PRU14 lalu.

“Tiada bukti emperikal yang mengatakan bahawa kerajaan baharu ini menerima sokongan rakyat.

“Apa yang dikatakan dalam media sosial itu bukan manifestasi rakyat.

“Kalau betul kerajaan mereka mewakili dan mendapat mandat rakyat, ianya perlu melalui proses pilihan raya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Lantak koranglah. Kitorang rilek jer tengkok kat depan TV sambil makan super ring…

    Kih kih kih

  2. Korang ni bodoh la. Polis dah bg tau..nak buat apa minta la permit.
    Korang ni sebenarnye saja nak tunjuk lagak Samseng n hero jer.
    Ikut la procedure..ni sendiri xnak ikut undang2 tapi nak bercakap pasal undang2

Comments are closed.