Amirudin Shari

SHAH ALAM – Datuk Seri Amirudin Shari menafikan beliau menerima tekanan daripada pimpinan Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Sebaliknya Amirudin berkata, majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahu beliau meneruskan pentadbiran sedia ada tanpa wakil daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Setakat ini tiada tekanan daripada Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kepada ADUN (Sungai Tua).

“Saya rasa okay kita teruskan mandat sedia ada berdasarkan taklimat yang diberikan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor di sini, hari ini.

Sebelum ini, kedudukan Amirudin dikatakan menjadi goyah susulan mentornya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin dipecat daripada PKR dan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Lebih membimbangkan lagi apabila Amirudin sebelum ini dilihat mempunyai hubungan rapat dengan bekas Timbalan Presiden PKR itu sehingga kemuncak ketika Kongres Nasional Keadilan di Melaka.

Dalam pada itu, Amirudin juga tidak menolak sebarang kemungkinan akan berlaku perubahan selepas ini dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

“Dalam politik semuanya mustahil, jadi ya masih ada pertukaran dan sebagainya boleh berlaku.

“Tapi ketika ini saya belum ada cita-cita atau niat untuk menukar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette