Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Pengangkutan merupakan satu penghargaan dan kepercayaan kepada parti MCA, barisan kepimpinan parti dan ahli-ahli MCA di seluruh negara.

Beliau yang juga Presiden MCA berkata, sebagai sebuah parti berasaskan kaum Cina yang membela kepentingan semua rakyat Malaysia, parti itu akan terus menyuntik nilai-nilai inklusif, kesederhanaan dan kepelbagaian.

Ka Siong turut menaruh harapan dengan pembentukan kerajaan baharu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini, Malaysia akan kembali ke landasan yang betul dan negara tidak lagi terperangkap dengan konflik politik yang merugikan rakyat serta negara.

”Pertama sekali, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana perkenan cadangan senarai nama Jemaah Menteri oleh YAB Perdana Menteri.

‘Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri Pengangkutan yang serba mencabar.

‘Amanah dan tanggungjawab ini saya akan galas sebaik mungkin demi kepentingan negara dan rakyat secara keseluruhannya,” katanya. – MalaysiaGazette