Oleh Mohd. Shah Abdullah

JIKA ada sesiapa yang menyangkal Malaysia bukan sebuah negara harmoni, sejahtera, permai dan indah, eloklah mereka itu pergi bertandang ke negara-negara luar.

Sungguh, betapa rakyat Malaysia harus bersyukur, bergembira dan berasa amat bertuah hidup selesa di negara ini.

Sejak merdeka kira-kira 56 tahun dahulu, suasana iklim politik, ekonomi, pendidikan, Sains dan Teknologi, pertanian dan terkini memasuki era digital Revolusi Industri (IR4.0), negara berbilang kaum, jamak budaya dan jamak agama ini terus sahaja melangkah mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan.

Dasar-dasar di peringkat nasional yang digubal dan dilaksanakan sudah menampakkan kejayaan, terutama berkaitan perancangan sosioekonomi meningkatkan taraf hidup rakyat, manakala sistem pendidikan yang teratur menjadikan rakyat kita berpeluang menerima pendidikan ke tahap paling tinggi, celik ilmu dan tidak syak lagi kita sudah mencapai kadar celik huruf 100 peratus.

Golongan kelas menengah yang terhasil daripada sistem pendidikan kebangsaan dan pendemokrasian pendidikan membuka ruang kepada rakyat untuk terus belajar, menimba ilmu dan hasilnya menyumbang kepada pembangunan negara.

Bermula dari era Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri pertama, disusuli Tun Abdul Razak Hussein sebagai arkitek pembangunan negara, Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri ketiga, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed (kini Tun) menyambung legasi sebagai Perdana Menteri keempat (paling panjang dalam sejarah setakat ini), diikuti Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, sebelum Tun Dr. Mahathir kembali mengetuai Kabinet sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas 9 Mei 2018, dan tumbang beberapa minggu lalu.

Takdir sejarah menentukan Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di puncak kuasa sebagai ketua negara.

Dalam pusingan pertama Tun Dr. Mahathir berada di koridor kuasa selama 22 tahun, satu tempoh masa yang cukup lama, berwarna-warni dan penuh cerita-cerita dramatik.

Penulis yang hidup dan membesar pada era Tun Dr. Mahathir sebenarnya seolah-olah beranggapan hanya Dr. Mahathir sahaja Perdana Menteri Malaysia.

Begitu sukar sekali untuk menghilangkan stigma Malaysia dan Dr. Mahathir. Bila kembali berkuasa selepas 9 Mei 2018, ingatan lama betapa karisma, kecerdasan daya fikir, ilmu, bakat, kreativiti dan inovasi Dr. Mahathir segera diulang tayang.

Tiada siapa menyangkal hebatnya seorang insan bernama Dr. Mahathir, kualiti kepimpinannya dikagumi lawan, gaya berpidatonya sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris amatlah membekas, concise, yakni padat, tepat dan tajam menusuk sekali, berpencak politik alang-alang tumbanglah lawan, keberaniannya mengherdik kuasa-kuasa besar di pentas antarabangsa memang dikagumi.

Bercakap di pentas antarabangsa, malah di peringkat domestik, beliau melontarkan pandangan without fear or favour (tanpa khuatir dan berbasa basi), namun di pentas nasional Dr. Mahathir bijak dan cekap mengatur urusan negara, mengawal ketenteraman rakyat berbilang kaum dan kerencaman isu-isu berbangkit dari semasa ke semasa.

Dr. Mahathir pernah diberi jolokan majalah TIME sebagai Master Builder, memang pun begitu kerana banyak sekali perancangan dan pelaksanaan kerja-kerja yang disiapkan sepanjang 22 tahun era pertama pemerintahan beliau.

Pusat Pentadbiran Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang (KLIA), Menara Berkembar Kuala Lumpur, pemacuan ekonomi negara yang mapan, penyediaan prasarana seperti lebuhraya, penghasilan kelas menengah Melayu yang kian besar serta tidak kurang pentingnya menyuntik keyakinan dan identiti kita sebagai warganegara Malaysia.

Bila kita bermusafir ke mana-mana negara luar, terasa sekali orang luar memberikan sanjungan pengiktirafan terhadap Malaysia.

Tidak terasa kita sebagai warga kelas negara membangun atau negara dunia ketiga, tetapi sudah mampu bersaing dengan negara-negara maju di hemisfera utara.

Di kalangan 10 negara-negara ASEAN, Malaysia sudah boleh meletakkan kedudukannya sebagai sebuah negara mercu dengan pertumbuhan ekonomi mapan, politik stabil, masyarakat majmuk yang bersatu hati, tawaran pakej makanan serba enak, destinasi pelancongan menarik, kemudahan prasarana canggih, persekitaran bersih, kesederhanaan dan sifat murah hati rakyat.

Dr. Mahathir wajar sekali menerima kredit di atas kejayaan besar bangsa dan negara. Bila beliau kembali menerajui negara untuk pusingan kedua sebagai Perdana Menteri ketujuh, suasana dan persekitaran sudah berubah.

Beliau kembali ke persada kepimpinan negara bersama gabungan Pakatan Harapan (PH), bukan lagi Barisan Nasional (BN).

Beliau turut bertanggungjawab menumbangkan BN dan melemahkan kuasa UMNO selaku paksi utama di dalam gabungan BN.

Akhirnya, gabungan PH tumbang dan diganti sebuah kerajaan baharu melibatkan Bersatu, UMNO, Pas dan beberapa fraksi lain. Tumbang PH dan Dr. Mahathir pun hilang kuasa sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Kini, Muhyiddin menerajui negara sebagai Perdana Menteri kelapan. Kerajaan ini masih baharu dan belum diuji. Ujian sebenar akan terserlah tidak lama lagi sama ada dasar-dasar dan pelaksanaannya disambut baik rakyat, berkesan atau hambar?

Ayahanda Tun Dr. Mahathir, saya ini ibarat anak kepada ayahanda. Kata perbilangan “zaman beredar, pesaka bergilir”. Sudah terlalu lama ayahanda Tun berada di puncak kuasa. Sudah terlalu besar jasa dan pengorbanan ayahanda Tun.

Jika mahu dihitung dan dilakar memang tidak terhitung dan tercatat kisah-kisah hebat dan agung sepanjang ayahanda Tun.

Mana ada dan tidak mungkin ada seorang insan di dalam dunia demokrasi moden ini boleh mengulangi sejarah kehebatan Tun yang luar biasa itu. Boleh berada di puncak kuasa dua kali, manakala kali kedua sudah memasuki usia 93 tahun.

Seorang insan biasa pasti bertanya soalan paling asas, iaitu mahu apa lagi untuk dikecapi di dunia sementara ini? Semua orang juga pasti mengingati hakikat bahawa jalan pulang semakin hampir, hanya menunggu detik dan saat tibanya sahaja.

Ayahanda Tun amat beruntung dan bersyukur kerana pada tahap usia lanjut begini masih dikurniakan kesihatan dan kekuatan serta talian hayat. Sudah amat wajar sekali ayahanda Tun memikirkan semasak-masaknya, iaitu bersaralah…

Jasa dan pengorbananmu begitu besar untuk dikenang! Berilah peluang dan kesempatan buat pemimpin baru melakar masa depan Malaysia. Saya ulangi, “zaman beredar, pesaka bergilir.” – MalaysiaGazette

Penulis adalah Pensyarah Kanan dan Ketua Jabatan Komunikasi, Manipal International University, Nilai, Negeri Sembilan