Muhyiddin Yassin answers Mahathir Mohamad Najib Razak power
Dr. Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.

SEWAKTU Tan Sri Muhyiddin Yassin mula-mula mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 1 Mac lalu, banyak pihak merasa bimbang mengenai kemampuan untuk kerajaan baharu pimpinan beliau boleh bertahan.

Ini adalah terutamanya kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad kelihatan bersungguh-sungguh mahu menjadi Perdana Menteri kembali di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) sehingga ke tahap mahu membuat usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dalam sidang Parlimen.

Begitupun, setelah menonton rakaman video “Wawancara Eksklusif Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad” pada 12 Mac lalu dalam mana Dr. Mahathir secara panjang lebar meluahkan perasaan dan pemikiran beliau, maka kebimbangan ini sudah semakin terhakis.

Dapat dilihat dengan jelas dalam wawancara eksklusif ini bahawa Dr. Mahathir sebenarnya tidaklah begitu berminat untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi cubaan beliau untuk menjadi Perdana Menteri kembali sebelum ini adalah lebih kepada untuk memenuhi hasrat pihak lain.

Dalam wawancara eksklusif ini, bila ditanya apakah cita-cita beliau sekarang, jawapan yang Dr. Mahathir berikan adalah beliau hendak berehat, dan kalau boleh, sekadar mahu pemimpin yang dipilih “datang kepada saya dan saya memberi pandangan dan nasihat”.

Begitu juga penegasan Dr. Mahathir bahawa “bukan kedudukan sebagai Perdana Menteri yang penting”, tetapi “kalau saya boleh tolong pulihkan keadaan orang Melayu itu bagi saya memberi kepuasan” yang menghapuskan persepsi negatif bahawa beliau gila kuasa.

Memang Dr. Mahathir menyebut beliau masih akan “terpaksa memainkan peranan sikit kalau diminta oleh orang ramai”, tetapi penegasan ini adalah didahului oleh kenyataan hanya “kalau saya lihat ada kemungkaran berlaku” (dalam kerajaan baharu).

Perkara yang menjadi perhitungan utama Dr. Mahathir dalam menerima atau tidak kerajaan baharu ini adalah bagaimana Muhyiddin mengendalikan isu beberapa mantan pemimpin kerajaan yang sedang berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah.

Bila Muhyiddin tidak menyenaraikan mereka dalam kabinet Dr. Mahathir pun menerima baik kabinet beliau. Kata Dr. Mahathir: “Setakat ini kita dapati mereka yang sedang dihadapkan ke mahkamah tak disenaraikan dalam kabinet, baik lah.”

Walaupun sebahagian menteri tiada pengalaman, Dr. Mahathir tidak mengecam mereka kerana mereka tiada masalah integriti. Kata beliau: “Banyak menteri lain agak junior, jadi mereka tak ada pengalaman, mereka perlu ambil masa dan saya harap mereka berjayalah.”

Muhyiddin patut lega bila Dr. Mahathir tidak lagi mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik beliau sebagai Perdana Menteri. Kata Dr. Mahathir: “Yang itu terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong lah, Saya tak nak kacau. Apa dia nak putus dia putuslah”.

Begitu juga bila Dr. Mahathir sudah tidak berminat untuk menjatuhkan Muhyiddin dengan berkata: “Saya percaya pada masa itu Muhyiddin ada majoriti dalam Parlimen. Kalau ada majoriti tak guna kita adakan satu usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin”.

Lebih jauh lagi, Dr. Mahathir juga sudah mula menunjukkan sikap lunak terhadap Muhyiddin sendiri. Ini boleh kita fahami melalui tiga kenyataan beliau ini:

(1) Bila ditanya adakah beliau bersedia untuk bertemu Muhyiddin, Dr. Mahathir tidak menolaknya terus, tetapi berkata “waktu ini saya ingat saya tak bersedialah”.

(2) Bila ditanya adakah beliau bersedia untuk menyokong Muhyiddin, Dr. Mahathir tidak menolaknya terus, tetapi berkata “waktu ini tak bolehlah”.

(3) Bila ditanya adakah beliau bersedia untuk bersama Muhyiddin dalam menyatukan orang Melayu, Dr. Mahathir tidak menolaknya terus, tetapi berkata “itu kita boleh fikir kemudianlah”.

Dapat dilihat, kesediaan Dr. Mahathir untuk bertemu, menyokong dan bersama Muhyiddin dalam menyatukan orang Melayu, selain turut tertakluk kepada hasutan pihak lain terhadap beliau, akan banyak bergantung kepada Muhyiddin sendiri.

Penentu utamanya ialah bagaimana Muhyiddin mengendalikan isu mereka yang sedang berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah. Kata Dr. Mahathir: “Saya nak perhati tengoklah macam mana dia nak tangani masalah mereka yang sedang dihadapkan ke mahkamah ini”.

Malah, bila ditanya apakah beliau akan menjatuhkan Muhyiddin atau tidak, jawapan Dr. Mahathir adalah ia bergantung kepada sama ada Muhyiddin akan menggunakan kuasa beliau untuk menghentikan atau mempengaruhi perjalanan kes mahkamah atau tidak.

Oleh itu, dapatlah dirumuskan jika Muhyiddin tidak menghentikan atau mempengaruhi perjalanan kes mahkamah yang melibatkan beberapa mantan pemimpin kerajaan, maka kerajaan baharu beliau pastilah akan selamat daripada gangguan Dr. Mahathir.

Lebih memberangsangkan lagi ialah bila Dr. Mahathir dalam wawancara eksklusif ini juga sudah mula memberikan beberapa petunjuk yang jelas kepada Muhyiddin dan kepada masyarakat awam mengenai bagaimana hubungan beliau dengan Muhyiddin boleh dipulihkan.

Pertama ialah mengenai pengekalan dasar-dasar baik Dr. Mahathir sebelum ini: “Saya mintalah kalau boleh Kabinet janganlah gugurkan dasar-dasar yang baik yang telah kita adakan, umpamanya Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama, itu satu benda yang baik, jangan gugur”.

Ini Dr. Mahathir huraikan kemudiannya dengan berkata: “Kita sudah ada rangka untuk mengatasi masalah hutang yang besar, finance, kita sudah ada rangka bagaimana mengatasinya. Kita juga sudah ada rangka bagaimana memajukan ekonomi negara kita. Kita juga mempunyai pelan untuk meningkatkan pendapatan orang kampung berbanding dengan orang bandar. Dan macam-macam lagi dah kita sediakan, cuma kita baru nak laksana (tetapi tidak sempat). Sekarang ini saya harap Muhyiddin guna pelan-pelan itu supaya tak jadi masalah kepada negaralah.”

Dalam wawancara eksklusif ini juga, Dr. Mahathir bercakap dengan panjang lebar mengenai kebaikan dan keperluan kepada “Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)” yang disertai dengan kebimbangan beliau Muhyiddin “tidak suka PPSMI” ini.

Oleh itu, sekiranya Muhyiddin tidak mengganggu perjalanan kes mahkamah, mengekalkan dasar-dasar baik Dr. Mahathir sebelum ini dan mengakomodasikan kehendak supaya PPSMI dikembalikan, pastilah beliau akan mampu mendapat sokongan penuh Dr. Mahathir.

Bila Muhyiddin mendapat sokongan penuh Dr. Mahathir, maka tiadalah jalan lagi untuk kerajaan baharu pimpinan beliau digugat kerana pihak yang mahu berbuat demikian hanya akan mempunyai peluang untuk berjaya jika Dr. Mahathir kembali menyokong mereka.

Begitupun, kepada pihak yang masih mahu mengheret Dr. Mahathir supaya terlibat dengan aktif dalam aktiviti politik kepartian bagi memenuhi kehendak peribadi mereka untuk cuba menjatuhkan kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin eloklah lupakan hasrat itu.

Dr. Mahathir sudah terlalu lama menyumbang jasa bakti kepada negara. Hormatilah kehendak beliau yang mahu berehat dan usahlah lagi beliau cuba diheret dalam aktiviti politik kepartian, melainkan jika terbukti kemudiannya ada kemungkaran berlaku dalam kerajaan baharu ini. – MalaysiaGazette

Dr Kamarul Zaman Yusof

Dr. Kamarul Zaman Yusof adalah penganalisis politik dan merupakan bekas Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia di Universiti Utara Malaysia.