Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR – Susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19, MCA telah membuat keputusan untuk menangguhkan semua mesyuarat bahagian dan cawangan parti itu, mulai esok.

Menurut Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, turut ditangguhkan adalah Perhimpunan Agung Tahunan serta 188 bahagian dan 3,862 cawangan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

“Majlis Presiden MCA telah membincang dan memutuskan untuk menunda AGM untuk semua Bahagian 188 MCA dan 3,862 Cawangan sehingga notis selanjutnya.

“Lazimnya, Cawangan dan Bahagian MCA akan mengadakan AGM masing-masing pada April dan Jun. Bagaimanapun, melihat bahawa kes-kes jangkitan masih meningkat, keputusan itu dibuat sebagai langkah pencegahan

“MCA akan terus memantau pandemik dan memutuskan masa yang sesuai untuk AGM Bahagian dan Cawangan berdasarkan peruntukan dan peraturan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman web rasmi MCA, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu (18 Mac) hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara.

Menurut Muhyiddin, perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Katanya, perintah kawalan pergerakan ini membabitkan pertamanya larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Berikutan arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk menangguhkan semua bentuk perhimpunan besar, MCA juga akan menutup ibu pejabatnya berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac ini.

“Ibu Pejabat MCA juga akan ditutup dari 18 Mac hingga 31 Mac 2020. Kami mendesak dan berharap semua rakyat Malaysia akan berdiri bersama dalam memerangi Covid-19,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast