Datuk Abdul Rahman Ahmad.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Sime Darby Bhd. Datuk Abdul Rahman Ahmad disahkan positif Covid-19 dan kini diletakkan di bawah penjagaan kesihatan.

Konglomerat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan, Abdul Rahman tidak mengunjungi premis Sime Darby mahu pun anak-anak syarikatnya sepanjang tempoh 18 hari lalu.

“Sime Darby sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan tahap kesihatan dan keselamatan kakitangannya.

“Ini termasuk individu-individu yang dikenal pasti menjadi kontak rapat Pengerusi,” katanya.

Dalam pada itu, Sime Darby turut mengumumkan kesemua premis syarikat di seluruh Malaysia ditutup bermula esok sehingga 31 Mac ini.

Manakala semua pekerja yang berpangkalan di Malaysia akan bekerja dari rumah, sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.

Hari ini, Malaysia merekodkan sejarah kematian akibat wabak tersebut apabila dua pesakit telah meninggal dunia.-MalaysiaGazette