KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan Akta Majlis Keselamatan Negara untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan lebih berkesan dalam membanteras wabak Covid-19.
Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Seputeh, Norizwa Jurish mendakwa, terdapat segelintir rakyat yang mengingkari PKP hanya kerana menggunakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit serta Akta Polis yang tidak menyeluruh.
“Melihat kepada peningkatan kes Covid-19 hari demi hari serta kejadian dan perlakuan tidak bertanggungjawab oleh pihak-pihak yang enggan serta ingkar menurut perintah di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit dan Akta Polis.
“Maka pada pandangan saya, kerajaan harus mengambil tindakan drastik bagi menjaga keselamatan rakyat keseluruhan daripada perlakuan pihak tidak bertanggungjawab telah membahayakan nyawa rakyat lain.
“Oleh itu adalah bersesuaian untuk kerajaan menggunakan Akta Majlis Keselamatan Negara dalam hal ini dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu (18 Mac) hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara.
Beliau berkata, perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Katanya, perintah kawalan pergerakan ini membabitkan pertamanya larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
Norizwa berkata, Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit serta Akta Polis didakwa tidak mempunyai bidang kuasa sepenuhnya untuk mengambil tindakan terhadap pesalah.
“Majlis Keselamatan Negara boleh bertindak dengan lebih efektif dengan bantuan lebih banyak penguatkuasaan dan kuasa yang lebih luas berbanding dengan Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit serta Akta Polis.
“Kuasa Perintah Berkurung serta kuasa pengawalan jalan juga terdapat di bawah Akta Majlis Keselamatan Negara ini.
“Biarlah rakyat membenci pemimpin untuk suatu tindakan yang baik dan betul untuk masa hadapan semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















