Tony Fernandes dan Kamarudin Meranun

KUALA LUMPUR – Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun didapati bebas daripada dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan skandal Airbus.

Keputusan itu hasil kajian semula dakwaan rasuah yang dijalankan oleh BDO Governance Advisory Sdn Bhd yang telah dilantik oleh Jawatankuasa Lembaga AirAsia Group Berhad (AirAsia) dan AirAsia X Berhad (AAX).

Berikutan itu, kedudukan Tony dan Kamarudin, masing-masing sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi Eksekutif AirAsia telah dikembalikan semula.

AirAsia dan AAX telah pun menyerahkan laporan dapatan siasatan oleh badan bebas itu kepada Bursa Malaysia.

BDO mendapati syarikat kumpulan itu mempunyai proses pemerolehan pesawat yang mantap dan pengambilalihan pesawat adalah “wajar dan pada harga yang menguntungkan kepada syarikat” dan penajaan pasukan sukan oleh Airbus telah didedahkan kepada dan disokong oleh lembaga pengarah AirAsia pada masa yang sesuai.

Laporan itu memaklumkan, penajaan telah mendapat faedah kepada kumpulan AirAsia dan tidak dikaitkan dengan sebarang keputusan pembelian oleh AirAsia.

Malah, Tony dan Kamarudin telah mendedahkan kepentingan mereka kepada Lembaga Pengarah AirAsia dan berkecuali daripada sebarang perbincangan atau keputusan yang berkaitan dengan penajaan tersebut.

”Laporan itu telah dikemukakan kepada dan diterima oleh lembaga (yang mengadakan pertemuan tanpa kehadiran dua eksekutif) dan berikutan itu, Lembaga Pengarah memutuskan untuk mengembalikan jawatan eksekutif Tan Sri Anthony Francis Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun,” menurut kenyataan itu.

Berikutan itu, pelantikan Tarumalingam Kanalingam (Bo Lingam) sebagai Pemangku CEO telah dibatalkan, menurut AirAsia lagi.

AirAsia dan AAX telah mengumumkan pelantikan BOD untuk membantu mengkaji tuduhan-tuduhan rasuah ke atas pengasas syarikat penerbangan tambang murah itu.

Pelantikan BDO dibuat oleh dua Jawatankuasa Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif Bebas membabitkan bukan ahli-ahli eksekutif dalam Lembaga Pengarah masing-masing.

Artikel berkaitan:TERKINI : SPRM Masih Menunggu Kertas Siasatan SFO Terhadap AirAsia dan Airbus

AirAsia nafi terlibat salah laku dalam siasatan terhadap Airbus

Airbus didakwa rasuah eksekutif AirAsia, AirAsia X

AirAsia dan AAX didakwa dalam dokumen Mahkamah United Kingdom selepas dituduh oleh Airbus SE yang merasuah dua eksekutif syarikat penerbangan itu dengan sejumlah AS$50 juta (kira-kira RM204.8 juta) dalam pertukaran pembelian pesawat Airbus.

Dana tersebut digunakan untuk menaja sebuah pasukan sukan yang tidak dinamakan.

Bagaimanapun, ia dipercayai membabitkan pasukan Caterham F1 yang pernah dimiliki oleh Tony dan Kamarudin.

Pasukan tersebut dimiliki oleh dua individu yang dikenal pasti sebagai Eksekutif AirAsia 1 dan Eksekutif AirAsia 2.

Kedua-dua individu tersebut bagaimanapun tidak mempunyai kaitan dari segi undang-undang dengan AirAsia atau AirAsia X. – MalaysiaGazette