Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) hari ini mengumumkan bahawa jualan pendek atau “short selling” digantung buat sementara sehingga 30 April 2020.

Penggantungan ini diperkenalkan sebagai sebahagian daripada langkah-langkah proaktif untuk mengurangkan potensi risiko yang timbul daripada ketidaktentuan yang sengit dan ketidakpastian pasaran global.
Ia melibatkan jualan singkat intra hari atau ‘intraday short-selling’ (IDSS) dan jualan dikawal selia atau ‘regulated short selling’ (RSS), serta urusniaga harian oleh pedagang proprietari harian.
Walau bagaimanapun, penggantungan tersebut tidak melibatkan kepada jualan singkat yang dibenarkan atau ‘permitted short-selling’ (PSS).

SC dan Bursa Malaysia memantau perkembangan yang berterusan di peringkat global dan domestik.

“Kami terus memerhati aktiviti dagangan dalam persekitaran global dan pasaran yang sangat tidak menentu ini. Kami akan menilai keadaan dan mempertimbangkan langkah-langkah tambahan untuk pencegahan jika perlu, dan sewajarnya untuk menyokong pasaran yang teratur,” kata Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift pula berkata, ini kekal sebagai langkah jangka pendek untuk menyediakan kestabilan dan keyakinan. Kami tetap komited untuk memastikan persekitaran perdagangan yang kondusif di pasaran.

Di sebalik penggantungan sementara ini, SC dan Bursa Malaysia mengulangi keperluan untuk pasaran tetap beroperasi seperti biasa bagi memastikan akses pasaran modal Malaysia yang berterusan dan boleh dipercayai, yang penting untuk keyakinan pasaran dalam masa terdekat dan jangka panjang.

Dalam satu kenyataan minggu lepas, kedua-dua pengawal selia menyatakan pasaran yang lebih luas akan meneruskan dagangan bagi membolehkan pelabur menguruskan risiko dan peluang mereka dalam tempoh ini. – MalaysiaGazette