SELURUH dunia kini sedang berperang dengan musuh yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar yang sangat berbahaya kepada manusia. Virus Wuhan, atau nama lainnya, SARS-CoV-2 boleh
menyebabkan penyakit yang dikenali sebagai Covid-19 ini telahpun mengorbankan lebih daripada 16,000 nyawa di seluruh dunia.

Virus yang berasal dari kota Wuhan, China ini dipercayai berasal daripada amalan masyarakat tempatan China di Wuhan yang menjadikan bintang eksotik seperti ular dan kelawar sebagai makanan mereka. Pasar Hidupan Liar Wuhan yang menjual haiwan-haiwan ini telahpun ditutup sejak 1 Januari
2020 bagi menghalang penularan virus ini.

Virus ini telah menggugat kesejahteraan hidup manusia di seluruh pelosok benua mengakibatkan lumpuhnya ekonomi sejagat. Virus yang bermula di China ini sekarang sedang mengganas di Eropah,
menyebabkan kekacauan di negara-negara dunia pertama yang mempunyai sistem kesihatan antara yang terbaik di dunia seperti Itali, Amerika Syarikat dan Sepanyol.

Malaysia pun tidak ketinggalan dan sangat terkesan dengan jangkitan gelombang kedua Virus Wuhan ini. Bagi mengelakkan negara menderita seperti Itali, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilancarkan dan telah memasuki hari ketujuh pelaksanaannya sejak 18 Mac 2020.

PKP akan berterusan sehingga 31 Mac 2020 bergantung kepada keadaan semasa. PKP ini dikawal selia menerusi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang baru saja diwartakan.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump baru-baru ini telah menamakan Virus ini sebagai ‘Virus China’ dan beliau telah dikecam kerana bersifat perkauman. Presiden Trump menafikan beliau bersifat perkauman dan malah bertegas mengatakan virus tersebut dinamakan ‘Virus China’ kerana ianya berasal dari China.
Persoalannya, bolehkah China dipersalahkan menurut undang-undang antarabangsa kerana telah menyebabkan virus ini tersebar ke seluruh dunia?

Umum memahami bahawa undang-undang awam mengawal dan menyelia hubungan sesama individu dan pihak atasan manakala undang-undang antarabangsa adalah untuk mentadbir serta
mempermudahkan hubungan dan interaksi di antara sesebuah negara dan negara-negara atau organisasi antarabangsa yang lain. Tatkala undang-undang awam bersifat menegak, undang-undang antarabangsa bersifat melintang. Maksudnya di sini, sekiranya seseorang individu itu melakukan sesuatu kesalahan, individu itu boleh dikenakan tindakan kerana telah menyalahi undang-undang.

Akan tetapi, hal ini tidak terpakai untuk negara-negara kerana wujudnya konsep ‘kedaulatan’, yang mana semua negara dianggap sama taraf dan tidak boleh dipaksa melakukan perkara yang tidak diinginkan oleh negara tersebut. Sebagai contoh, sewaktu Malaysia dan Singapura menyelesaikan kes Batu Putih lebih sedekad yang lalu, kedua-dua negara perlu bersetuju untuk ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Sekiranya salah
satu tidak bersetuju, kes ini tidak boleh di bawa ke Mahkamah tersebut. Malaysia atau Singapura, sebagai sebuah negara berdaulat tidak boleh diseret ke mahkamah.

Di dalam contoh yang lain, sewaktu Filipina memulakan timbangtara dengan China mengenai isu tuntutan maritim di Laut China Selatan di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa pada tahun 2016, ianya dilakukan secara sepihak tanpa penglibatan China. Disebabkan itu, China menolak apa jua yang diputuskan oleh Mahkamah Timbangtara Antarabangsa ini kerana ianya dibuat tanpa persetujuan China.

Umum mengetahui betapa kejamnya tentera Jerman dan Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua yang melanda dunia lebih 60 tahun yang lalu. Akan tetapi, setelah Pakatan Axis kalah dalam perang
tersebut dan menyerah diri, Tribunal Jenayah Perang telah ditubuhkan ni Nuremberg dan Tokyo bagi membicarakan pemimpin Nazi Jerman dan Empayar Jepun yang telah terlibat dengan jenayah perang dan kemanusiaan.

Secara umumnya, tindakan undang-undang tidak diambil terhadap negara akan tetapi berharap pemimpin mereka yang telah melakukan kekejaman. Akan tetapi, pandemik Covid-19 ini bukanlah suatu jenayah perang yang dilakukan oleh mana-mana
pemimpin China walaupun ianya berasal dari China. Malah, mustahil bagi mana-mana negara untuk mengheret China ke Mahkamah Keadilan Antarbangsa misalnya, kerana tindakan ini memerlukan persetujuan daripada China sendiri.

Sungguhpun terdapat draf peruntukan undang-undang antarabangsa bagi mempertanggungjawabkan sesebuah negara ke atas kegagalan memenuhi mana-mana peruntukan Undang-undang antarabangsa.

Undang-undang ini masih lagi di dalam bentuk draf yang belum lagi dikuatkuasakan. Tambahan pula, Undang-undang antarabangsa yang sedia ada dan telah dikuatkuasakan tidak memperlihatkan negara China sebagai telah melanggar mana-mana peruntukan tersebut.

Hasilnya, hubungan baik yang dijalinkan dengan China juga mungkin tercalar sekiranya terdapat mana-mana negara yang bertindak sedemikian, jika ada dan dibolehkan, dan ini mungkin akan mempengaruhi kestabilan geopolitik dan keamanan di dunia buat masa ini. Ini kerana hanoir seluruh dunia masih lagi bertarung dengan penularan wabak ini dan akan mengambil masa bagi memulihkan keadaan negara mereka, rakyat, terutama sekali ekonomi mereka.

Covid-19 telahpun menular ke seluruh dunia, dan ini bukanlah waktu untuk menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Masalah Covid-19 adalah masalah sejagat yang perlu ditangani
bersama. Benar, majoriti negara yang teruk terjejas adalah negara-negara maju dan berpengaruh di dunia.

Usaha China dalam membantu beberapa negara seperti Malaysia, Itali dan lain-lain dalam mendepani krisis ini patut dipuji dan diteruskan. Negara-negara di dunia kini patut bersatu dalam
mengekang wabak Covid-19 agar ianya tidak terus mengganas dan menghantui warga dunia.

Oleh: Prof Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli dan Dr. Fareed Mohd Hassan adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

2 Komen

  1. Sand smuggling in Southeast Asia, untuk lebih lanjut baca Wikiapadia?

    Seronok tengok Al Jazeera SAND WARS kisah sebuah negara yang mencuri pasir dari negara jiran2nya!

Comments are closed.